SJK (C) Kin Kiau rasmi blok bangunan baru sempena nama Datuk Susan Wong Siew Guen

Susan (5 dari kanan) dan Liang Caide (5 dari kiri) menurunkan tandatangan di plak tanda perasmian bangunan baru, bangunan Datuk Susan Wong Siew Guen SJK (C) Kin Kiau, Kinarut.

Oleh: Nio James

KINARUT: SJK (C) Kin Kiau, Kinarut yang berusia 89 tahun, merasmikan blok sekolah barunya yang dinamakan sempena nama pemaju hartanah terkemuka dan dermawan Datuk Susan Wong Siew Guen di sini semalam.

Susan, yang juga pengarah Kumpulan WSG, berkata sekolah itu diasaskan oleh komuniti Cina di Kinarut pada tahun 1930.

“Pada zaman dahulu, penduduk China di Pekan Kinarut sangat kecil tetapi mereka bertekad untuk menubuhkan sekolah ini walaupun dalam keadaan kemiskinan dan kesusahan kerana mereka mahu mengekalkan pendidikan dan budaya Cina terus wujud.

“SJK (C) Kin Kiau adalah harapan dan masa depan masyarakat Cina tempatan untuk memelihara pendidikan bahasa ibu kami.

“Sekolah ini telah dikekalkan sehingga hari ini kerana derma dan usaha masyarakat Cina,” katanya pada majlis perasmian blok sekolah itu yang disempurnakan oleh Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Liang Caide di sini semalam.

Konsulat China itu juga telah menaja bilik guru di blok sekolah baru tersebut.

Susan dan Liang Caide (duduk tengah), Fung Mui Wing, Chai Ket Min dan Mok Lee Yen serta para guru dan murid bergambar kenangan dihadapan bangunan baru, bangunan Datuk Susan Wong Siew Guen SJK(C) Kin Kiau, Kinarut.

Beliau berkata sokongan konsul itu mencerminkan pengiktirafan China terhadap pendidikan Cina yang dijalankan oleh masyarakat Cina di luar negara.

“Ia menandakan perhubungan yang kukuh di antara China dan Sabah, terutamanya dengan perayaan ulang tahun ke 70 tahun penubuhan Republik Rakyat China pada 1 Oktober.” katanya.

Susan berkata bangunan baru itu menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif bagi murid-murid.

Beliau memuji sekolah itu atas komitmennya kepada pendidikan Cina walaupun 90 peratus murid di SJK (C) Kin Kiau adalah bumiputera.

“Sekolah ini percaya bahawa dengan mempunyai bumiputera yang mempelajari pendidikan Cina kita akan meningkatkan persefahaman bersama, yang seterusnya mempromosikan perpaduan dan integrasi nasional.” katanya.

Walau bagaimanapun, Susan yakin bahawa jumlah pelajar Cina di sekolah itu akan meningkat kepada 30 peratus dalam masa terdekat kerana syarikatnya telah membina lebih daripada 1,000 rumah kediaman di Kinarut.

Beliau mengimbas kembali projek perumahan pertamanya yang diberi nama “River Park” di pekan ini pada tahun 2007 apabila terdapat hanya seorang pembeli Cina daripada 200 unit kediaman.

Dalam projek kedua WSG Group, iaitu Rose Garden dengan 400 unit rumah kediaman, jumlah pembeli China meningkat kepada 50 peratus.

“Pada masa kini, pembeli Cina merupakan 70 peratus dalam projek terbaru kami, The Palm Condominium.

Liang Caide diberi peghormatan menurun tanda tangan di buku pelawat di majlis itu.

Trend ini menunjukkan masyarakat Cina beralih ke Kinarut dan oleh itu saya percaya pelajar Cina di SJK (C) Kin Kiau akan meningkat kepada 30 peratus tidak lama lagi.” katanya.

Susan menambah bahawa Kinarut adalah sesuai untuk tempat pelancongan dengan pemandangan laut yang indah dan menaiki kereta api bagi pelancong untuk melawat bandar lama dan kuil Tien Nam Shi yang bersejarah.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah SJK (C) Kin Kiau, Fung Mui Wing berkata, sekolah itu telah ditubuhkan pada tahun 1930 dan hampir berusia 89 tahun.

Katanya, ketika zaman peperangan pada tahun 1940, sekolah ini telah diarahkan tutup namun telah dibuka semula setelah peperangan berakhir.

Katanya, sekolah itu yang pada awalnya diduduki oleh anak-anak masyarakat setempat iaitu penduduk sekitar Pekan Kinarut.

Liang Caide (4 dari kanan), Susan (3 dari kanan) serta pengurusan sekolah melawat bilik guru di sekolah itu

“Namun kini semakin ramai ibu bapa yang berminat menghantar anak-anak mereka bersekolah di sekolah ini,” katanya.

Fung berkata, kebelakangan ini, pertumbuhan perumahan-perumahan baharu di sekitar Pekan Kinarut telah mendorong permohonan kemasukan murid baharu ke SJK(C) Kin Kiau.

“Ruang kelas yang tidak dapat menampung jumlah murid yang ramai menjadi kekangan kepada pihak sekolah untuk menerima kemasukan murid yang ramai.

Oleh sebab itu, katanya pihak Lembaga Pengurusan Sekolah telah mengambil inisiatif untuk membina bangunan baharu bagi mengurangkan masalah ruang kelas yang sempit yang tidak dapat menempatkan murid yang agak ramai,” katanya.

Katanya, banyak usaha dan rintangan yang dilalui sepanjang proses pembinaan bangunan ini.

“Walau bagaimanapun, dengan kerjasama banyak pihak ianya dapat diatasi dengan baik,” katanya.

Fung berkata, bagi pihak Lembaga Pengurusan Sekolah, pihaknya amat menghargai sumbangan yang telah diberikan sepanjang pembinaan bangunan baharu ini khususnya kepada Datuk Susan Wong Siew Guen, Pengerusi Kehormat Lembaga Pengurusan Sekolah yang telah banyak memberi bantuan dan sumbangan.

“Ribuan terima kasih juga saya ucapkan kepada semua penderma yang telah memberikan sumbangan untuk pembinaan bangunan baharu ini.

Sementara itu, Guru Besar SJK(C) Kin Kiau, Mok Lee Yen berkata, setiap tahun sekolah itu menerima banyak permohonan daripada ibu bapa yang ingin menghantar anak mereka bersekolah di SJK(C) Kin Kiau.

Katanya, sejajar dengan pembinaan perumahan-perumahan baharu dan pertambahan penduduk di sekitar Pekan Kinarut ini, maka kemasukkan murid ke SJKC Kin Kiau semakin bertambah.

Bukan sahaja dikalangan masyarakat cina, malah masyarakat yang berlainan bangsa juga turut berminat memilih sekolah jenis kebangsaan cina untuk anak-anak mereka menimba ilmu.

“Mereka percaya bahawa dengan menguasai bahasa cina, peluang pekerjaan anak-anak lebih terbuka.” katanya.

Lee Yen berkata, terdapat 9 buah sekolah cina di daerah Papar, namun SJK(C) Kin Kiau merupakan satu-satunya sekolah jenis kebangsaan cina yang terdapat di sekitar Pekan Kinarut .

“Memandangkan terdapat ramai dikalangan ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak mereka bersekolah di SJK(C) Kin Kiau, bangunan sekolah yang dahulu tidak dapat menampung kemasukan murid yang ramai.

TRADISI… Liang Caide (4 dari kiri) dan Susan (4 dari kanan) menerima skroll dari mulut singa.

Oleh itu, pihak Lembaga Pengurusan Sekolah telah bertungkus lumus mengusahakan pembinaan bangunan baharu ini. Bagi pihak sekolah, jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak Lembaga Pengurusan Sekolah, SJK(C) Kin Kiau diatas inisiatif dan komitmen yang tinggi terhadap usaha ini.

Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat merealisasikan bangunan sekolah ini terutama sekali kepada penderma-penderma yang telah banyak memberikan sumbangan.

Semoga dengan usaha murni ini akan dapat memberikan manfaat kepada anak-anak kita untuk menimba ilmu dan memberikan pendidikan yang terbaik kepada mereka,” katanya.

Turut hadir Chai Ket Min, wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.