KOTA KINABALU: Aktiviti solat berjemaah solat Jumaat serta solat Tarawih akan dibenarkan di Sabah bermula Jumaat ini, namun hanya untuk masjid dan surau yang terpilih saja.
Mufti Negeri Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, dalam satu kenyataan, hari ini, berkata pelaksanaan solat berkenaan disarankan sebanyak lapan rakaat sahaja.
Beliau turut berkata, keputusan kebenaran itu tidak membabitkan solat sunat Hari Raya Aidilfitri dan ahli kariah dinasihatkan supaya mengadakan solat sunat Hari Raya di rumah masing-masing.
“Bagi solat Jumaat, hanya AJK masjid sahaja dibenarkan bersama bilangan ahli jemaah tidak kurang tiga orang dan tidak melebihi 12 jemaah termasuk imam dan khatib.
“Takbir Hari Raya hanya dibenarkan pada malam Hari Raya sahaja dengan kadar yang memadai dan AJK yang berusia lebih 70 tahun tidak dibenarkan hadir berjemaah.
“Penggunaan pembesar suara semasa bacaan teks khutbah dan takbir Hari Raya juga dibenarkan untuk manfaat orang Islam di sekitar masjid dan surau,” katanya.
Sementara itu, Bungsu berkata, kenyataan berhubung penangguhan aktiviti di masjid sebelum ini tertakluk kepada ketetapan baharu ini.
Pihaknya turut mengingatkan para AJK dan ahli jemaah supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, ia termasuklah membuat pemeriksaan suhu badan, memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembersih tangan, serta merekodkan kehadiran masing-masing.
“Mereka yang mempunyai gejala sakit seperti demam dan batuk tidak dibenarkan hadir ke masjid dan surau.
“Amalam penjarakan sosial termasuk semasa solat tidak kurang satu meter, mengelakkan bersalaman dan memakai pelitup muka ketika solat perlu dipatuhi,” katanya lagi.-http://beritasabah.com

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad