SPRM sepatutnya tidak masuk campur dalam hal-hal kehakiman – Anwar

Oleh: Cyn J.

PETALING JAYA, 25 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepatutnya tidak campur tangan menjalankan siasatan ke atas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang dikaitkan dakwaan mempunyai wang diragui dalam akaunnya.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, siasatan ke atas Hakim Mahkamah Rayuan seharusnya dilakukan oleh Badan Kehakiman dengan menubuhkan tribunal dan sebarang campur tangan SPRM adalah tidak wajar.

“Saya ambil maklum isu melibatkan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali terkait dakwaan wang RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

“Saya ingin tegaskan institusi kehakiman sendiri mempunyai badan yang menyelia dan mengawal integriti para hakim dan ini ditetapkan untuk memastikan agar wujud pembahagian kuasa yang jelas di dalam sistem yang ada. Justeru campurtangan SPRM melanggar prinsip ini,” katanya.

Tambahnya, kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seharusnya mempunyai tekad politik dalam mempertahankan integriti badan kehakiman memandangkan badan kehakiman baharu sahaja pulih dari tercemar teruk sebelum ini.

“Integriti dan kebebasan badan kehakiman kelihatan beransur pulih akibat dari kecelaruan dan ketempangan berdekad-dekad lamanya tanpa ada usaha serius pemerintah untuk membetulkannya.

“Adalah dikhuatiri hebahan sebegini akan dianggap sebagai tekanan dan campurtangan politik,” kata Anwar lagi.

Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebelum ini telah membuat laporan polis ke atas artikel bertajuk ‘Group calling for Najib’s pardon now wants judge Nazlan arrested’ dan ‘Shocking Revelation: Najib’s Trial Judge Nazlan’s Conflict-of-Interest Exposed’ yang didakwa ditulis Raja Petra Kamaruddin.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pula dalam kenyataan media berkata tuduhan membabitkan Nazlan adalah palsu, tidak berasas serta berniat jahat.