PENAMPANG: Suami isteri berdepan hukuman mati selepas ditahan bersama dadah disyaki syabu dalam serbuan di Kampung Nosoob, Jalan Towering, di sini, semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 4.30 petang itu, pasangan berusia 54 dan 55 tahun terbabit ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil penahanan pasangan itu, menemui satu peket plastik lutsinar mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 50.5 gram.
“Pasukan serbuan turut merampas dua kenderaan dan wang tunai berjumlah RM1,800. Nilai rampasan dadah syabu itu dianggarkan RM2,500.
“Saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan hendaklah, jika tidak dihukum mati, disebat tidak kurang 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama. Kedua-dua suspek kini ditahan reman,” katanya.
Sementara itu, Sammy turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau penyalahgunaan dadah ke balai polis berhampiran. – Info X

More Stories
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad
Isu ‘Pusingan P’ di Jalan Kinarut Dibawa ke Peringkat Nasional
UPKO Tuaran Hormati Keputusan Fairuz Bandar, Ucapkan Selamat Maju Jaya