3,466 botol kosmetik seludup guna bot laju dirampas

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan berjaya merampas 3,466 botol barangan kosmetik pelbagai jenis dalam Operasi Khas di kawasan Tanah Merah, di sini, semalam.

Operasi jam 1.45 pagi itu, semua barangan kosmetik yang tidak mempunyai kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, pasukan serbuan menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara bahagian belakang ditutupi kanvas yang mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu, menemui enam plastik berisi pelbagai jenis barangan kosmetik yang dipercayai diseludup masuk menggunakan bot laju dari negara jiran.

“Ketika serbuan itu, orang yang disyaki (OYDS) berjaya melarikan diri selepas menyedari kehadiran penguat kuasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua barangan kosmetik itu dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan dan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM65,484.

“Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“PPM Wilayah Empat Sabah komited meneruskan operasi membanteras kegiatan penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya. – Info X