Suspek meramas Unduk Ngadau kena sambung reman sampai 9 Jun

Tahanan reman membabitkan seorang ahli politik yang didakwa mencabul salah seorang peserta Unduk Ngadau Pesta Kaamatan, disambung sehingga 9 Jun depan.

Difahamkan, siasatan kes membabitkan bekas pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu kini membabitkan sekurang-kurangnya dua hingga tiga laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, permohonan penyambungan tahanan reman itu sudah dilakukan pasukan siasatan polis.

Katanya, ia bagi membantu siasatan berhubung suspek sebelum tindakan selanjutnya termasuk kemungkinan pendakwaan dilakukan.

“Setakat ini, kes masih disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini

3 Jun lalu, seorang ahli politik sebuah parti tempatan yang didakwa mencabul salah seorang peserta Unduk Ngadau Pesta Kaamatan, ditahan polis.

Lelaki terbabit ditahan di pejabatnya di Asia City, di sini, kira-kira jam 1 petang selepas satu laporan polis dibuat terhadapnya 19 Mei lalu.

Dalam laporan itu, mangsa mendakwa diraba di bahagian badan termasuk paha, belakang badan, leher serta tangannya dan mangsa turut bertindak menepis perbuatan suspek. – Asia Times

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *