Tafsiran undang-undang Mahkamah Persekutuan perlu dilaksanakan keatas formula 40% – Nelson

KOTA KINABALU, 16 April – Merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri pada Khamis berhubung pemberian 40% hak Sabah, Setiausaha Agung UPKO, Nelson W. Angang menegaskan bahawa tafsiran perlu dibuat oleh Mahkamah Persekutuan.

Katanya, ia berikutan isu tersebut yang menimbulkan kebimbangan dan persoalan pelanggaran hak perlembagaan.

“Perkara tersebut tidak boleh dirujuk kepada penilai bebas untuk memutuskan tafsiran bagi Perlembagaan Persekutuan.

“Tidak kira betapa baiknya seorang penilai bebas, dia tidak boleh menggantikan peranan dan kuasa perlembagaan Mahkamah Persekutuan untuk mengadili dan memutuskan tafsiran Perlembagaan Persekutuan kita.

“Penilai bebas tidak boleh diminta untuk memutuskan Tafsiran mana-mana dalam perlembagaan persekutuan yang betul mengenai kebolehgunaan formula 40%,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan yang disiarkan semalam.

Dalam kenyataan tersebut, beliau turut mempersoalkan berkenaan dasar yang dipakai untuk menentukan kenaikan 4.7 kali ganda pemberian khas kepada Sabah dan rundingan semula mengenai jumlah geran yang diterima.

“Atas dasar apakah kenaikan 4.7 bermula dari 2022 dibuat? Adakah ia berdasarkan kepada formula 40%?  Jika tidak, adakah ini bermakna kerajaan Negeri Sabah telah mengakui bahawa hak perlembagaan kita melalui formula 40% boleh diketepikan dan bukan menjadi asas untuk sebarang kajian semula dan seterusnya menjadi preseden untuk semakan masa depan yang nyata merugikan Sabah?

“Kenyataan itu (kenyataan Perdana Menteri) mengatakan bahawa dalam tempoh 5 tahun dari 2022 hingga 2026 kerajaan persekutuan dan Negeri Sabah masih boleh berunding semula mengenai jumlah geran yang diterima. Tetapi jika ini adalah semakan berdasarkan kepada artikel 112D FC, Maka semakan seterusnya hanya boleh dibuat selepas 5 tahun.  Atas dasar/kuasa apakah kerajaan Sabah boleh memaksa kerajaan persekutuan untuk terus berunding bagi sebarang semakan lanjut dalam tempoh 5 tahun ini?,” soalnya.

Tambahnya lagi, kerajaan Negeri Sabah seharusnya bertegas bahawa sebarang semakan dan persetujuan haruslah dilaksanakan berdasarkan formula 40%.

“Dan sekiranya terdapat keperluan untuk rundingan lanjut mengenai bayaran yang lebih rendah dibuat melalui pemberian khas, ia harus dibuat hanya selepas kerajaan persekutuan mengakui bahawa sebarang penyelesaian atau semakan mesti berdasarkan formula 40%,” katanya.