Najib mahu tempoh lebih untuk fail alasan dalam rayuan SRC

PETALING JAYA, 18 April – Najib Razak memohon lanjutan masa untuk memfailkan alasan rayuannya di Mahkamah Persekutuan berkenaan kes rasuah SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta.

Menurut FMT, Najib telah memfailkan usul tersebut pada minggu lalu meminta agar mahkamah memberinya tempoh sehingga 25 April untuk memfailkan petisyen rayuan.

Dalam afidavit yang menyokong usul itu, Najib mengatakan bahawa Mahkamah Rayuan telah membekalkan peguamnya dan pihak pendakwaan 176 jilid rekod rayuan, manakala Mahkamah Persekutuan pula menghendaki fail alasan rayuannya diserahkan dalam tempoh 10 hari.

“Mustahil untuk peguam meneliti rekod itu dalam tempoh yang singkat bagi menyediakan petisyen dan menjawab penghakiman Mahkamah Rayuan,” katanya dalam usul yang dilihat FMT.

Tambah Najib, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Pendakwa Raya Ad Hoc V Sithambaram dan Timbalan Pendakwa Raya Ashrof Adrin Kamarul semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Siti Hajar Mustaffa dan Wan Fatimah Zaharah Yussof pada 8 April lepas.

Sementara itu, pihak pendakwaan yang merupakan responden, tidak menyuarakan bantahan terhadap permohonan Najib untuk melanjutkan masa memfailkan rekod rayuan.

“Saya percaya mahkamah akan membenarkan permohonan itu demi keadlian kerana rekod rayuan yang banyak perlu diteliti oleh pihak pembelaan,” jelas Najib, yang telah memfailkan perakuan segera untuk Mahkamah Persekutuan mendengar usul itu.

Sebagai rekod, Najib telah disabit kesalahan pada 8 Dis oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Abdul Karim Abdul Jalil atas sebab menyalahguna kuasa, pengubahan wang haram dan penyelewengan RM42 juta dana SRC.

Hukuman yang diberi ialah penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta.

Karim berkata, hakim perbicaraan Nazlan Mohd Ghazali yang kini hakim Mahkamah Rayuan tidak membuat keputusan salah untuk Mahkamah Rayuan campur tangan.