PETALING JAYA: Seorang tahanan yang melarikan diri dari lokap Kepayan di Kota Kinabalu, Sabah, Sabtu lalu berjaya ditangkap semula pagi tadi.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Shahurinain Jais, berkata lelaki itu ditangkap ketika bersembunyi di sebuah pondok dalam hutan berhampiran Resort Mimpian Jadi di Tuaran, kira-kira 11.50 pagi.
“Polis Sabah merakamkan ucapan jutaan terima kasih atas kerjasama dan maklumat disalurkan orang awam sehingga suspek berjaya diberkas,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, polis berkata tahanan berusia 33 tahun itu melarikan diri dengan memanjat pintu jeriji lokap ketika dibawa ke bilik siasatan pada 12.30 tengah hari, Sabtu lalu.
Lelaki itu kemudian berlari dan memanjat pagar. Dua anggota polis cuba mengejarnya tetapi suspek berjaya meloloskan diri selepas masuk ke kawasan belukar.
Suspek itu sebelum ini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana mencuri kabel.
Sebelum ini tular satu video, menunjukkan seorang tahanan memanjat jeriji lokap sebelum melarikan diri ketika dibawa ke bilik siasatan.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK