TAKTIK SELUDUP GAGAL

Oleh Wartawan BS
1 Februari 2020

KUDAT: Taktik seorang juragan warga Filipina menyeludup keluar barang kawalan menggunakan bot nelayan tempatan bagi mengelak dikesan gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat.

Lelaki berusia 23 tahun itu ditahan anggota APMM Kudat di kedudukan jarak hampir 0.8 batu nautika dari muara Marina Kudat, di sini, jam 5.30 petang, kelmarin.

Pengarah APMM Zon Maritim Kudat, Komander (M) Boon Chin Chau berkata, hasil pemeriksaan bot maritim mendapati bot nelayan tempatan itu membawa beberapa jenis barang yang dikategorikan sebagai barang kawalan.

“Antara barang-barang yang dibawa adalah minyak masak berjumlah 102 kilogram, petrol sebanyak 180 liter dan diesel 3,000 liter serta enam tong gas petroleum cecair (LPG).

“Semua barang kawalan itu tidak memiliki surat kebenaran yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan disyaki cuba diseludup keluar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, juragan warga Filipina itu melakukan kesalahan salah guna lesen bot dengan membawa barang kawalan.

“Bot bersama juragan dibawa ke Jeti Sabah Port Kudat dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan dan Peraturan12 (1) Peraturan-peraturan Pelabuhan dan Dermaga 2008, salah guna lesen bot dengan membawa barang kawalan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *