TAMBADAU IDAM PIALA FA JUGA

KOTA KINABALU: Skuad Tambadau Sabah menganggap saingan Piala FA sama pentingnya dengan Liga Super dan berharap mereka akan mampu mencipta kejutan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, berkata, sasaran pasukan untuk musim baharu nanti adalah sekurang-kurangnya memenangi satu piala dan oleh sebab itu saingan Piala FA juga perlu diberi perhatian.

“Sudah agak lama pasukan ini (Sabah) sering tenggelam dalam saingan Piala FA dan kali ini kita harus buktikan yang Tambadau juga mampu cipta kejutan.

“Kita akan bersiap sedia untuk menghadapi Piala FA seperti mana kita bersiap sedia menghadapi Liga Super,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Peter turut berharap para pemain akan memberi aksi terbaik seterusnya mencatat keputusan baik di awal saingan Liga Super nanti bagi memastikan momentum baik berterusan sehingga aksi pertama Piala FA bertemu Kuala Lumpur.

“Seperti undian Piala FA semalam, kita akan bertemu dengan Kuala Lumpur di gelanggang sendiri pada 17 atau 18 Mac depan.

“Sebelum kita mulakan saingan Piala FA kita lebih dulu menghadapi beberapa perlawanan dalam Liga Super dan adalah penting untuk kita mencatat keputusan positif bagi meneruskan momentum apabila menentang Kuala Lumpur nanti,” katanya.

Kali terakhir Sabah menjulang Piala FA ialah pada 25 tahun lalu iaitu ketika menewaskan Pahang 3-1 dalam aksi final di Stadium Merdeka ketika itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *