“Masih perit walaupun sudah lapan tahun berlalu, namun kasih sayang terhadap anak sentiasa menjadi pendorong dan sumber kekuatan semangat untuk mengharungi cabaran hidup tanpa suami,”
Itu antara luahan waris wira negara dalam peristiwa berdarah lapan anggota dan pegawai polis yang terkorban dalam dua kejadian berasingan di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Simunul, Semporna, lapan tahun lalu.
Salah seorang waris, Marlimah Utan berkata, walaupun insiden itu berlaku lapan tahun lalu, namun ia masih dekat dalam ingatan mereka sekeluarga.
Katanya, perasaan itu semakin kuat terutamanya pada hari kelahiran arwah suami ataupun menjelang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri seperti ketika ini.
“Kadang-kadang menjelang hari kelahirannya, saya mungkin terbawa-bawa emosi. Lebih-lebih lagi ketika Ramadan dan Aidilfitri , memang kami akan rasa sunyi.
“Kebiasaannya dibulan Ramadan, arwah selalu berbuka puasa dengan kami. Jadi selama lapan tahun ini memang terasa dan itulah sebab kami berpindah dari Tawau ke sini untuk mengelak rasa kesunyian itu. Tapi memang kekosongan itu masih terasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Dr Jamaluddin Mohd Ali.
Kunjungan berkenaan diadakan sebagai mengenang dan menghargai jasa serta pengorbanan perwira-perwira negara.
Seorang lagi waris, Sumaiti Suarah berkata, mereka sekeluarga amat terharu dengan kunjungan yang dibuat, hari ini.
Katanya, selepas lapan tahun berlalu, mereka bersyukur kerana masih diingati sekaligus membuktikan pengorbanan arwah suaminya amat dihargai.
“Sedih tapi takkan sudah lapan tahun kita tidak boleh bertabah. Kita mesti reda, ikhlas dan kena kuat juga walau macam mana sakit sekalipun,” katanya.
Sementara itu, Dr Jamaluddin Mohd Ali berkata, kunjungan yang diadakan hari ini adalah sebagai menzahirkan rasa terima kasih serta menghulurkan bantuan kepada balu wira-wira negara yang terkorban.
Katanya, program ini akan diadakan setiap tahun kepada semua yang terbabit termasuk mereka yang berada di semenanjung Malaysia.
“Ini adalah sejarah yang kita jangan sekali lupakan. Ia sebagai tanda ingatan dan menghargai jasa wira negara,” katanya. – Asia Times

More Stories
Arkitek Ekonomi Borneo: Merentas Garis Masa Transformasi UMS (2022–2026)
Nuansa Percaturan Politik, Mencatur Politik, dan Politik Catur
“Zaman Nabi Muhammad di Madinah, Islam menjadi contoh awal sebuah negara multikultural”