TARIKAN PELANCONGAN KAMPUNG BAMBAN

Oleh John Tambanan
6 Februari 2020

KEMABONG: Kampung Bamban, di sini, bakal menjadi daya tarikan pelancong apabila sebuah pusat pelancongan yang memiliki keunikan tersendiri diwujudkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Kemabong Jamawi Jaafar berkata, pusat pelancongan komuniti yang berkonsepkan pelancongan berasaskan budaya suku kaum Murut meliputi baju kebudayaan, tarian, kraftangan, makanan tradisi dan keindahan kampung serta air terjun yang terdapat di kampung berkenaan diyakini mampu menarik pengunjung khususnya pelancong dari luar.

“Pusat pelancongan yang diusahakan oleh penduduk kampung melalui Koperasi Bamban Pasisimpungan Kemabong Berhad ini merupakan yang ke lima diwujudkan di daerah ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pusat pelancongan tersebut di Balai Budaya kampung Bamban, dekat sini, baru baru ini.

Menurut Jamawi yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan pengwujudan pusat pelancongan berasaskan komuniti di kampung Bamban ini akan menggalakkan lagi industri pelancongan di Sabah, khususnya di Kemabong.

“Saya harap pengwujudan pusat pelancongan komuniti di kampung Bamban turut menaja sumber pendapatan penduduk kampung melalui penghasilan kraftangan, budaya dan sebagainya untuk dipasarkan kepada pengunjung yang melawat ke sini” katanya.

Dalam pada itu, Jamawi turut berharap masyarakat setempat di Kemabong perlu mengutamakan kebersihan berikutan kawasan berkenaan semakin berkembang dalam sektor pelancongan.

“Saya menyeru kepada semua orang agar terus menjaga kebersihan bagi memelihara keindahan kawasan pelancongan ini,” katanya.

Di majlis itu juga Jamawi turut meluluskan peruntukan untuk menaiktaraf lansaran yang sudah lama tidak digunakan agar ianya menjadi tarikan utama ke Balai Budaya Bamban.

Turut hadir Wakil Perbadanan Pelancongan Sabah bahagian Keningau Julianus Jeffery, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kemabong, Burnley Balang, Pengerusi Koperasi Bamban Pasisimpungan Kemabong Berhad Herry, Johnson Kulipo, Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Mukim Paal Hailly Jamihiu, Ketua Kampung Bamban, Udang Sungak dan Pengerusi MPKK kampung Bamban, Mastinah Paun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *