Tawaran laluan penerbangan Pulau Pinang – Kota Kinabalu oleh Firefly bermula April depan

KOTA KINABALU, 5 Mac — Syarikat penerbangan Firefly kembali beroperasi di Sabah menerusi penerbangan pergi balik antara Pulau Pinang – Kota Kinabalu pada April depan.

Menurut Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See, pembukaan laluan berkenaan mampu memberi pilihan kepada penumpang terutama ketika musim perayaan.

“Laluan baharu ini menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dengan hab Firefly di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas.

“Ia juga akan dilancarkan tiga minggu sebelum waktu kemuncak musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

“Kita menjangkakan laluan penerbangan antara dua lokasi ini akan mendapat sambutan menggalakkan berikutan kedua-duanya adalah lokasi tumpuan, bukan sahaja ketika perayaan tetapi sewaktu tibanya musim cuti sekolah dan cuti umum,” ujar Philip ketika ditemui pemberita, di sini, semalam.

Jelasnya lagi, pembukaan laluan tersebut sekaligus mampu merancakkan lagi industri pelancongan di kedua-dua destinasi.

“Hal ini disebabkan penerbangan dijangkakan penuh minggu pertama Mei berikutan perayaan Hari Raya Aidilfitri selain sambutan Pesta Kaamatan serta hari Gawai pada penghujung bulan sama.

“Bermula 11 April, penerbangan pergi balik Pulau Pinang – Kota Kinabalu beroperasi sekali sehari sebelum ditambah dua kali sehari bermula 25 April.

Menurut Philip, Firefly menyediakan 189 tempat duduk bagi setiap penerbangan dengan sasaran pasaran melibatkan individu yang atau kumpulan yang ingin bercuti selain mahu melawat keluarga dan rakan-rakan.