TEKUN LULUSKAN PEMBIAYAAN RM 2.6 JUTA KEPADA USAHAWAN DI TUARAN

KIULU: Tabung Kumpulan Ekonomi Usaha Niaga (TEKUN) Nasional meluluskan pembiayaan sebanyak RM2.6 juta kepada 114 usahawan tempatan Tuaran bagi tempoh Januari – Jun 2024.

Simbolik penyampaian cek disempurnakan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau pada Program Taklimat Pembiayaan Tekun Nasional Tuaran di Dewan Masyarakat, di sini, pada Rabu.

Penyampaian itu turut disaksikan dua Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional, Datuk Gilbert Syam dan Rowindy Lawrence Odong.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Madius menzahirkan ucapan terima kasih kepada TEKUN Nasional atas kelulusan pembiayaan tersebut.

“Saya menyeru agar setiap penerima memanfaatkan pembiayaan ini untuk memajukan perusahaan masing-masing sekali gus menjadi teladan kepada usahawan-usahawan lain.

“Pada masa yang sama, saya ingin menggalakkan para usahawan tempatan untuk memohon skim pembiayaan ini untuk mengambil peluang mendapatakan maklumat sepanjang program ini diadakan seterusnya membuat permohonan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, Gilbert dalam ucapannya berkata, bagi tahun 2024, TEKUN Nasional mensasarkan membantu 45,670 usahawan mikro di Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM800 juta.

“Bagi negeri Sabah pula sebanyak RM109.7 juta diperuntukkan pada tahun ini dengan menyasarkan 5,410 orang usahawan,” katanya.

Lebih 70 pengusaha tempatan telah menghadiri taklimat tersebut.

Hadir sama, Pengurus TEKUN Negeri Sabah, Hemin Osumping.