Lelaki ditemukan lemas di pantai Simpang Mengayau

KUDAT: Seorang lelaki ditemui lemas ketika melakukan aktiviti menyelam dan menembak ikan di pesisir pantai Simpang Mengayau, di sini, malam ini.

Mangsa Nikalmon Yusuf, 30, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.40 malam.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat digerakkan ke tempat kejadian.

“Setiba di lokasi mangsa telah ditemui oleh orang awam pada 7.30 malam dan diberi rawatan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi.

“Tindakan pasukan bomba kemudian memberi CPR dan menghantar ke Hospital Kudat menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 8.24 malam,” katanya. – Info X