TELEKOMUNIKASI LUAR BANDAR PERLU DIJADIKAN AGENDA PELAN SABAH MAJU JAYA

KOTA KINABALU: Kemudahan telekomunikasi di kawasan luar bandar perlu dijadikan sebagai antara agenda dalam Pelan Sabah Maju Jaya.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick, ia penting kerana masih banyak kampung yang belum menikmati liputan telekomunikasi menyebabkan perhubungan dan pembangunan aktiviti berasaskan digital terhambat.

“Saya bersetuju dengan Yang Berhormat daripada Usukan (Datuk Seri Salleh Said Keruak) yang menyatakan dalam ucapan beliau pada sidang lepas mengenai kemiskinan digital.

“Pada saya, ini berpunca daripada liputan telekomunikasi yang kurang. Apabila sekolah mengadakan pembelajaran secara maya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia telah menyerlahkan “kemiskinan” kemudahan telekomunikasi di kawasan luar bandar,” katanya.

Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata demikian ketika menyampaikan ucapan bahas ke atas Belanjawan 2021, pada persidangan dewan undangan negeri di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri harus mendepani rakyat dalam keperluan ini dan menjadikannya antara agenda dalam Pelan Sabah Maju Jaya.

“Tatkala kita bercakap tentang Revolusi Industri 4.0, kampung-kampung di pisuk-pisuk di Sabah hanya mampu memanjat pokok, mendaki puncak bukit atau berayun di jambatan gantung semata-mata mahu mencari liputan telekomunikasi,” katanya.