Oleh: Nio James
KOTA KINABALU: Pewartaan tempat makan yang telah bermula pada 1 Januari 2019 telah mendapat pelbagai reaksi daripada segenap lapisan masyarakat.
Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon Ming Fung (gambar) berkata, di Sabah, pewartaan ini telah mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Negeri melalui Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KKKR) Sabah.
“Kerjasama yang erat di antara pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dengan pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan pihak berkuasa tempatan di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) telah menjamin pelaksanaan yang baik,” katanya dalam satu kenyataan disini pada Jumaat.
Frankie berkata, sepanjang tempoh penguatkuasaan pendidikan selama 6 bulan, tuan punya kedai dan orang ramai telah diberikan maklumat berterusan berkenaan larangan merokok di tempat makan.
Katanya, melalui tinjauan yang telah dijalankan, rakyat negeri ini telah mematuhi larangan ini dengan baik dan ia telah memberikan impak yang positif di mana semakin ramai orang dapat menikmati udara bersih dan persekitaran tempat makan yang lebih selesa.
Katanya, melalui penguatkuasaan pendidikan yang dijalankan secara berterusan, sehingga kini Jabatan Kesihatan Negeri Sabah telah menjalankan pemeriksaan ke atas 5,704 premis.
Frankie berkata, sebanyak 5,206 (91.3%) premis telah memasang papan tanda larangan merokok.
Sejumlah 262 sesi taklimat telah dilaksanakan.
Sebanyak 1,444 penguatkuasaan pendidikan telah dijalankan di mana 498 notis amaran dikeluarkan kepada premis yang tidak memasang papan tanda dan 14 notis amaran kepada perokok yang merokok di tempat makan.
Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah akan meneruskan pemantauan bagi memastikan menjelang Disember 2019, 100% premis makanan di negeri Sabah mempunyai tanda larangan merokok.
Katanya, Mesyuarat Jemaah Menteri Negeri Sabah pada 24 Julai 2019 telah bersetuju dengan pelanjutan penguatkuasaan secara pendidikan sehingga 31 Disember 2019.
“Ini bagi memberikan peluang yang secukupnya kepada perokok untuk meningkatkan pengetahuan tentang larangan merokok dan seterusnya turut mengambil keputusan untuk tidak merokok di tempat makan yang dilarang di bawah Peraturan 11, PPKHT 2004.
Frankie berkata, dalam tempoh masa perlanjutan, Kementerian ini juga akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan untuk menentukan kawasan merokok di luar premis tempat makan.
Katanya, perokok yang ingin berhenti merokok boleh mengikuti Program Berhenti Merokok yang disediakan di Klinik Berhenti Merokok.
Katanya, di Sabah, terdapat 23 hospital, 58 klinik kesihatan dan 12 fasiliti swasta yang menawarkan pekhidmatan berhenti merokok melalui perkhidmatan mQuit.
Orang ramai digalakkan untuk mengunjungi fasiliti mQuit di daerah masing-masing.
Maklumat lanjut boleh diperolehi melalui talian infoline 03-88924530 atau laman web www.jomquit.moh.gov.my.
“Kerajaan Negeri Sabah amat berharap sokongan dan kerjasama semua pihak dalam memastikan kepatuhan tempat larangan merokok demi menjaga kesihatan rakyat keseluruhannya,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ