TERENCE : MALAYSIA MILIK SEMUA WARGA NEGARA INI, BUKAN HANYA MELAYU

TAMPARULI: Bekas calon Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (STAR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, Terence Sinti berkata semua pihak perlu menerima bahawa Malaysia adalah milik semua bangsa tidak kira apapun keadaan walaupun ada pihak yang tidak menerima hakikat berkenaan.

Beliau berkata suka atau tidak semua pihak perlu menerima fakta bahawa Malaysia terbentuk melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) iaitu gabungan tiga wilayah iaitu Malaya, Sabah dan Sarawak selepas Singapura keluar.

“Setiap rakyat Malaysia tidak kira tua atau muda perlu mempelajari sejarah yang selama ini disembunyikan dan tidak pernah diajar disekolah.

“Saya ingin menyarankan supaya sejarah mengenai pembentukan Malaysia dipelajari di semua peringkat sekolah oleh rakyat Malaysia tidak kira yang dewasa apatah lagi kepada orang-orang muda yang mungkin tidak mengetahui sejarah MA63.

“Kita kena terima hakikat bahawa negara ini milik semua bangsa dan “everybody must accept the fact that Malaysia Belong To All Nation”, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau dipercayai berkata demikian susulan kenyataan pemimpin UMNO yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang menyatakan meskipun hak orang bukan Melayu harus dilindungi, setiap orang harus mengakui bahawa mereka tinggal di “Tanah Melayu” dan bumiputera mempunyai hak istimewa.

Terence yang sebelum ini telah meninggalkan STAR dan menyertai Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) turur berkata, sebagai rekod, Malaysia terbentuk pada September 1963 selepas Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura menandatangani Perjanjian Malaysia.

Justeru, Terence berkata agak janggal untuk menerima hakikat bahawa Malaysia adalah Tanah Melayu semata-mata sedangkan majoriti masyarakat pribumi Sabah dan Sarawak bukanlah orang Melayu.

“Kami sebagai Orang Asal Sabah tidak pernah mempertikaikan atau mempersoalkan hak-hak orang Melayu namun hak setiap rakyat Malaysia perlu dipertahankan oleh setiap pemimpin tidak kira kerajaan atau pembangkang selaras dengan perjanjian MA63,” tegasnya.

Pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat, semalam, Tajuddin turut berkata, suka atau tidak, orang Malaysia atau orang datang dari luar ke negara kena terima bahawa Malaysia adalah Tanah Melayu dan Melayu merupakan rakyat penduduk asal negara ini.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *