KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menafikan dakwaan kononnya cawangan parti itu di Pitas dalam bahagian Kudat telah lumpuh selepas 3,000 ahlinya keluar parti.
Naib Ketua PKR Sabah, Kenny Chua, berkata bahagian berkenaan kini distruktur semula selepas ketuanya sebelum ini, Rahimah Majid dipecat dan tindakan disiplin diambil terhadap ahli parti yang setia kepada bekas timbalan presiden PKR, Datuk Seri Mohd Azmin Ali.
Beliau berkata, bekas naib ketua PKR Bahagian Kudat, Ruddy Awah tiada pengaruh kepimpinan kerana beliau tidak dipilih dalam pemilihan parti, sebaliknya dilantik ke jawatan itu.
“Penstrukturan semula bahagian Kudat dipantau Ketua Bahagian Kota Marudu, Sazalye Donol yang juga penyelaras zon utara PKR Sabah serta pemangku ketua Bahagian Kudat, Bayan Sein,” katanya seperti dilapor portal Free Malaysia Today, hari ini.
Terdahulu, Ruddy mendakwa PKR cawangan Pitas tiada ahli selepas 3,125 ahli meninggalkan parti itu. Mereka mendakwa menyokong PPBM dan Presidennya yang juga Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Chua berkata, kumpulan itu hanya memperbesarkan jumlah keahlian, sama seperti dakwaan bekas pengarah tugas khas, Nani Sakam yang 8,000 ahli keluar parti bulan lalu.
“Tunjukkan jumlahnya kepada kami, siapa yang keluar parti?” soalnya.
PKR Sabah, dengan lebih 130,000 ahli, ialah negeri yang mempunyai jumlah keahlian kedua terbanyak selepas Selangor.
Sazalye berkata, Ruddy menyasarkan jawatan tertinggi bahagian itu, tetapi gagal kerana isu perlembagaan dan memutuskan untuk keluar parti.
Ketua Penerangan Pemuda PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata Ruddy hanya menyertai PKR lebih setahun lalu.
Individu lain yang meletak jawatan atau dipecat daripada PKR Sabah termasuk Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yassin dan Adun dilantik Jafari William, kedua-duanya bersekutu dengan Azmin.
PKR Sabah kini hanya mempunyai dua ahli Parlimen dan dua Adun.-http://beritasabah.com
More Stories
Konvensyen UPKO untuk permerkasaan parti dan perjuangan rakyat: Ketua Penerangan
STAR, PBS dijangka tandatangani MoU Khamis ini
Saya masih Pengerusi PKR Sabah yang sah – Sangkar Rasam