TIADA MASALAH, BEKALAN ASAS DI SABAH MENCUKUPI

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan keperluan asas di Sabah mencukupi.

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, hasil pemeriksaan pasukan pemantau KPDNHEP pada Jumaat dan Sabtu mendapati bekalan itu mencukupi di semua peringkat pengilang, pemborong dan peruncit.

“Kita juga mendapati tidak ada sebarang pembelian luar biasa atau pembelian panik daripada pengguna sepanjang pemeriksaan di premis-premis perniagaan tumpuan pelanggan di seluruh daerah di Sabah.

“Kita telah mengadakan pemeriksaan di 192 premis pasar awam, 13 pasar raya serta 140 kedai runcit dan pasar mini di Sabah,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurut Georgie, antara barangan yang sentiasa dipantau membabitkan termasuk barangan kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung.

Sementara itu belaiu memaklumkan KPDNHEP sentiasa giat mengadakan pemantauan sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac 2020 sehingga kini.

“Seramai 200 orang pegawai penguatkuasa dan 90 pegawai pemantau harga di seluruh cawangan KPDNHEP Sabah terlibat di dalam tugas-tugas pemantauan ini.

“KPDNHEP Sabah juga akan terus memastikan peniaga-peniaga mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan melalui pemeriksaan harian yang dilaksanakan.

“KPDNHEP Sabah turut melantik 170 peruncit daerah terpilih dan 89 pemborong daerah terpilih di seluruh Sabah bagi tujuan pemantauan kedudukan bekalan barangan keperluan asas di Sabah,” jelasnya.

Georgie berkata, bilik gerakan pejabat KPDNHEP Sabah di Kota Kinabalu beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 8 malam manakala bilik gerakan di pejabat cawangan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 6 petang.

“Semua peniaga di negeri ini juga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan berikutan penularan jangkitan COVID-19 ketika ini.

“Peniaga yang didapati menaikkan harga barang secara tidak berpatutan akan diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” tegasnya.

Sebarang aduan dan pertanyaan berkaitan dengan bekalan dan harga barangan boleh menghubungi Bilik Gerakan KPDNHEP Sabah, iaitu Kota Kinabalu 088-484368, Sandakan 089-668107, Tawau 089-776690, Beaufort  087-222240, Keningau  087-338401, Kudat 088-615311, Tuaran 088-787822, Lahad Datu 089-886090 dan Semporna 089-782855.