Tiang dan Kabel Elektrik Tumbang dalam Kejadian Tanah Runtuh di Tobobon

KOTA KINABALU: Satu kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Jalan Dato Tobobon menghala ke Kampung Tenggiling, Menggatal, petang kelmarin, mengakibatkan tiang dan kabel elektrik tumbang di kawasan berdekatan.

Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), panggilan kecemasan diterima pada jam 6.53 petang melalui talian MERS999.

Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas bersama 10 anggota telah digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 15 kilometer dan tiba pada jam 7.53 malam.

Komander Operasi, PBK II Saflan Safri, memaklumkan bahawa kejadian berlaku di bahagian belakang rumah seorang penduduk, menyebabkan struktur tiang dan kabel elektrik runtuh akibat gelongsoran tanah.

Sebagai langkah keselamatan, pihak bomba segera mengarahkan penduduk yang tinggal berhampiran lokasi runtuhan untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat bagi mengelakkan sebarang risiko susulan.

Tiada mangsa dilaporkan dalam insiden tersebut.

“Setelah memastikan kawasan berada dalam keadaan selamat dan tiada ancaman lain, operasi ditamatkan pada jam 8.16 malam,” kata Saflan.

Operasi dikendalikan menggunakan satu jentera FRT (Fire Rescue Tender) dengan kekuatan tujuh anggota dan satu unit EMRS (Emergency Medical Rescue Services) dengan tiga anggota.

Pihak berkuasa kini menasihatkan penduduk di kawasan berbukit agar lebih berwaspada, terutama ketika musim hujan yang boleh meningkatkan risiko kejadian tanah runtuh.