Bayi lahir di luar negara oleh ibu tempatan berhak dapat kewarganegaraan: Mahkamah Tinggi KL

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa bayi yang lahir di luar negara oleh wanita warga Malaysia dan bapa bukan warga secara automatik berhak mendapat kewarganegaraan Malaysia.

Hakim Akhtar Tahir hari ini membenarkan saman yang menuntut pengisytiharan bahawa anak wanita Malaysia yang berkahwin dengan pasangan asing secara automatik dapat memperoleh kewarganegaraan walaupun mereka dilahirkan di luar negara.

Saman itu yang difailkan kumpulan hak asasi Family Frontiers dan enam wanita warga Malaysia pada 18 Disember tahun lalu.

Ketika dihubungi, peguam Joshua Andran, yang mewakli enam warga Malaysia dan badan bukan kerajaan (NGO) itu, mengesahkan keputusan oleh Mahkamah Tinggi hari ini.

Semasa prosiding dalam talian awal hari ini, Akhtar memutuskan bahawa wanita warga Malaysia (yang berkahwin dengan lelaki asing) mempunyai hak yang sama dengan lelaki waega Malaysia yang berkahwin dengan wanita asing, untuk memberikan kewarganegaraan melalui operasi undang-undang ke atas anak-anak mereka yang lahir di luar negara.

Hakim itu berkata, ini diselaras dengan Artikel 8 (2) Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama dengan Artikel 14 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan yang tidak bercanggah dengan Bahagian (1) (b) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Akhtar memutuskan bahwa semua udang-undang berkenaan melarang diskriminasi berdasarkan jantina dalam hal pemberian kewarganegaraan.

Dia menekankan bahawa mahkamah diberi kuasa untuk mentafsirkan undang-undang untuk menegakkan semangat Perlembagaan Persekutuan dan memastikan keadilan.

Katanya, saman itu tidak bertujuan untuk bertujuan mengubah dasar tetapi mencari jalan untuk menerapkan undang-undang yang ada dengan cara menyelesaikan rasa tidak puas hati plaintif.

“Rasa tidak puas hati plaintif adalah besar… diskriminasi adalah jelas,” katanya.