KOTA KINABALU: Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini, mendedahkan punca utama beliau meletak jawatan adalah kerana tidak sanggup bekerjasama dengan UMNO.
Beliau berkata demikian dalam perutusan khasnya bagi menjelaskan mengapa beliau meletak jawatan perdana menteri, Isnin lalu.
Mahathir berkata, selepas Kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh, Bersatu bertindak menyokong PAS dan UMNO, dan seterusnya menjadikan kerajaan ini akan didominasi oleh UMNO sebagai parti terbesar.
“Saya sanggup terima ahli Umno yang keluar Umno dan menyertai parti lain. Tetapi Umno akan sertai kerajaan campuran ini sebagai parti Umno. Ini tidak dapat diterima oleh saya. Maka terpaksalah saya letak jawatan,” katanya.
Pada Isnin, Kerajaan PH berusia 20 bulan runtuh ekoran Bersatu bertindak keluar daripada gabungan PH tanpa persetujuan Mahathir yang merupakan pengerusi parti tersebut.
Ini mengakibatkan Mahathir turut meletak jawatan sebagai pengerusi parti berkuat serta-merta sebagai tanda tidak puas hati.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius