TIGA ANGGOTA TLDM MAUT, SEORANG PARAH

RANAU: Tiga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut manakala seorang lagi parah dalam kejadian kemalangan membabitkan lori pasukan tentera yang terbabas di Jalan Ranau-Tamparuli, jam 12.50 tengah hari tadi.

Difahamkan, semua anggota yang terbabit adalah anggota TLDM dari Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) Sandakan.

Mereka yang maut adalah Maslim Abdul Rahim, Mohamad Firdaus Mat Izan dan Muhammad Arif Idris.

Sementara itu, mangsa yang parah Vincent M Orel kini menerima rawatan lanjut di Hospital Ranau.

Semua mangsa dikatakan dalam perjalanan menghantar bekalan peluru dari Mawilla 2 Sandakan ke Kota Kinabalu.

Difahamkan, setakat ini, pasukan polis masih berada di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung kemalangan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.03 petang.

Katanya, seramai tujuh anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) serta pacuan empat roda untuk membantu operasi.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori (TLDM) yang terbabas sendiri.

“Pasukan Bomba bertindak mengalihkan mangsa dari lokasi kemalangan dan terdapat empat orang mangsa terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, satu mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Ranau menggunakan EMRS Bomba.

Manakala tiga lagi mangsa tidak sedarkan diri yang dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan selanjutnya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *