Tiga disyaki pengedar dadah kena serbu di sebuah hotel. Kejadian di Sipitang

Polis memberkas tiga individu termasuk seorang wanita dipercayai terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah dalam satu serbuan di Sipitang semalam.

Ketua Polis Daerah Sipitang Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, ketiga-tiga suspek ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang.

Katanya, operasi terbabit dibuat di salah sebuah hotel di pekan ini dan kesemua suspek berjaya ditahan di dalam sebuah bilik bersama dadah jenis syabu. 

Menurutnya, rampasan dadah jenis syabu terbabit dipercayai cuba diedarkan suspek.

“Serbuan yang dijalankan adalah hasil maklumat daripada daripada orang awam dan ketiga-tiga tangkapan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sipitang untuk ujian saringan air kencing serta siasatan lanjut.

“Hasil ujian saringan yang dijalankan mendapati, kedua-dua lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine manakala, tahanan wanita berkenaan disahkan negatif,” katanya menurut laporan Utusan Borneo.

Beliau berkata, kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Champin menjelaskan, hasil soal siasat lanjut, suspek turut mendedahkan nama  pembekal dadah yang terlibat di daerah ini.

Sehubungan itu katanya, pihak polis giat mengumpulkan maklumat dan risikan percakapan untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, tindakan yang diambil mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa kepada hukuman lima tahun di Pusat Pemulihan di Penjara Simpang Rengam Johor.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak polis akan meneruskan Op Sarang di daerah ini bagi mengesan pembekal dan penagih dadah syabu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *