Tindakan Pantas Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran Pulihkan Jalan Bayaon Kiulu

TUARAN: Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran telah mengambil tindakan pantas untuk memulihkan laluan di Jalan Bayaon Kiulu yang terputus akibat tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini.

Kejadian ini berlaku berikutan keadaan cuaca ribut yang melanda Sabah, menyebabkan pokok-pokok tumbang dan tanah runtuh di beberapa kawasan.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman media sosial peribadi Ahli Parlimen P.170 Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, beliau memuji tindakan pantas oleh pelbagai pihak yang terlibat.

“Saya telah meminta kakitangan Pusat Khidmat Rakyat Tuaran menghubungi pihak berwajib sejurus selepas jalan terputus. Beberapa kabel tiang elektrik turut terkesan akibat tanah runtuh dan pokok tumbang.

“Terima kasih kepada JKR, JPAM, SESB dan orang awam yang telah bertindak pantas dalam menjalankan kerja-kerja pemulihan di Jalan Bayaon Kiulu yang mengalami tanah runtuh.

“Syukur, tindakan cepat daripada ketiga-tiga agensi ini telah membolehkan jalan tersebut kini boleh dilalui semula,” kata beliau.

Madius yang juga Presiden Kehormat UPKO, turut menasihati orang ramai agar berhati-hati ketika menggunakan jalan raya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.