TUARAN: Sambutan Hari Komuniti sempena Hari Malaysia anjuran Komuniti Taman Sri Rugading Tuaran berlangsung meriah di Dewan Muhibah Taman Sri Rugading, di sini kelmarin.
Program tersebut diisi dengan pelbagai aktiviti menarik, termasuk E-Kelas Usahawan anjuran Maxis, program ‘Klik Dengan Bijak’ oleh MCMC Sabah serta acara sukan rakyat yang berjaya menarik pelbagai lapisan masyarakat.
Sambutan yang dihadiri lebih 200 hadirin dirasmikan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
Dalam ucapan perasmiannya, Madius merakamkan penghargaan dan ucapan syabas kepada pihak penganjur kerana mengadakan acara itu dengan jayanya.
“Melalui program ini, kita dapat melihat usaha yang telah dilakukan oleh masyarakat untuk mengeratkan silaturahim dan membangunkan persekitaran yang lebih harmoni.
“Kita tahu bahawa menganjurkan sebuah program bukanlah sesuatu yang mudah, terutama dalam mendapatkan sokongan dan penglibatan daripada orang ramai.
“Namun, kejayaan program hari ini adalah bukti komitmen dan usaha gigih komuniti di sini dalam memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan di kalangan penduduk,” katanya.
Madius turut menekankan betapa pentingnya acara sebegini dalam memperkukuhkan hubungan antara komuniti dan agensi tempatan.
Presiden Kehormat UPKO itu turut menyuarakan harapan agar program seumpama itu dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.
“Program ini adalah plaftform yang tepat untuk menyemai semangat perpaduan, selain meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan ekonomi setempat,” ujarnya lagi.
Turut diadakan gerai pameran daripada pelbagai agensi kerajaan dan usahawan tempatan.
More Stories
Pusat Khidmat Parlimen Tuaran, JAS serta pelbagai institusi dan agensi jayakan Sambutan Hari Pembersihan Sedunia
Pantas dan prihatin, tindakan Madius lawat mangsa bencana angin ribut dapat pujian rakyat
Moginakan UPKO Menyatukan Perpaduan