TINGKAT KAWALAN DI PERAIRAN KHUSUSNYA ‘JALAN TIKUS’

KOTA KINABALU: Pasukan keselamatan akan meningkatkan kawalan pergerakan di perairan Sabah ini khususnya di Tawau bagi mengekang kemasukan melalui ‘jalan tikus’ di negeri ini.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, ini termasuk memantau secara rapat kemasukan jemaah tabligh rakyat Sabah yang difahamkan masih berada di Indonesia untuk masuk ke Tawau melalui perairan negara.

“Setakat ini, kumpulan-kumpulan tabligh yang dimaksudkan akan berhubung terus dengan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekiranya mereka mahu memasuki ke negeri ini.

“Kita bukan sahaja mengekang pergerakan daripada dari pulau-pulau tapi kumpulan tabligh yang sedia ada di Indonesia itu dia akan masuk ke Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Operasi Bersama PPM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, sudah dua kali ada pergerakan yang pertama dan baru-baru ini, masih ada baki (jemaah tabligh Malaysia) yang masih berada di Indonesia.

Terdahulu, seramai 24 individu daripada kumpulan tabligh yang menyertai Program Ijtimak Dunia Zon Asia 2020 di Sulawesi, Indonesia diiringi pasukan keselamatan baru-baru ini, sebelum dikuarantin di pusat kuarantin Tawau.

Sementara itu, mengulas pergerakan di perairan seluruh Sabah terutamanya daerah Tawau sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mohamad Pajeri berkata, setakat ini, tiada sebarang cubaan masuk secara haram dilaporkan.

“Setakat ini, kita belum dapat sebarang pembolosan, yang kita terima adalah melalui MKN. Pihak MKN yang berhubung dengan kumpulan tabligh dari Indonesia yang mana mereka yang masuk ke Sabah dia akan berhubung dengan MKN

“Jadi apa juga maklumat yang MKN bagi untuk penugasan mengiring dan sebagainya,” katanya.

Mengenai mesyuarat itu, beliau berkata, pihaknya bersama APMM kini berkerjasama rapat untuk mengawal sebarang pergerakan di Sabah termasuklah baki penghantaran bot-bot kumpit di beberapa lokasi perairan negeri ini.

“Melalui kerjasama ini kita harap pematuhan komuniti maritim di Sabah pada tahan yang tinggi.

“Tetapi setakat ini, hasil rondaan bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan oleh PPM dan APMM di perairan Sabah, pematuhan pada tahap yang baik,” katanya./BERITA SABAH