COVID-19 : JUMLAH KES DI SABAH KINI 206

KOTA KINABALU: Sebanyak lima kes Covid-19 baharu direkodkan di Sabah, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kini menjadi sebanyak 206 kes.

Pertambahan itu membabitkan tiga daerah di Pantai Timur iaitu Tawau yang meningkat sebanyak tiga kes manakala Lahad Datu dan Sandakan masing-masing bertambah satu kes.

Angka terbaharu itu disiarkan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam Facebook beliau, sebentar tadi.

Sehingga kini, Tawau kekal daerah tertinggi merekodkan kes Covid-19 dengan jumlah 63 kes manakala Lahad Datu kedua tertinggi dengan jumlah 35 kes.

Kota Kinabalu yang tidak mencatat penambahan kes, hari ini, juga kekal daerah ketiga tertinggi dengan jumlah 26 kes manakala Sandakan daerah keempat tertinggi dengan jumlah 16 kes.

Dua lagi daerah yang merekodkan lebih daripada sepuluh kes ialah Kinabatangan dengan jumlah 14 kes dan Tuaran yang masih kekal dengan 12 kes, setakat ini.

Lain-lain daerah yang kekal dengan jumlah kes sebelum ini ialah Beaufort, Kunak, Dan Putatan yang masing-masing merekodkan tujuh kes, Kota Belud (5), Sipitang (4), Papar (2), Ranau (2), Penampang (1), Semporna (1), dan Tambunan (1).

Pada hari ini juga, terdapat satu kes pesakit yang telah pulih iaitu di Lahad Datu menjadikan jumlah kes pesakit yang telah sembuh di Sabah setakat ini seramai 12 orang.

Kes kematian akibat Covid-19 di negeri ini juga kekal satu kes iaitu di Tawau./BERITA SABAH