UJIAN GETIR ATLET KARATE SABAH

Oleh Wartawan BS
5 Februari 2020

KOTA KINABALU: Ujian getir menanti atlet-atlet karate Sabah dalam Kejohanan Karate Antarabangsa Terbuka Malaysia Ke-3 yang akan berlangsung di Melaka pada Mac 26-29.

Kejohananan yang akan diadakan di Universiti Teknikal Malaysia itu penting bagi memantau prestasi semasa para pelatih negeri yang sedang dalam persediaan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) di Johor, Julai nanti.

 Setiausaha Agung Persatuan Karate Sabah (SKA), Julian Chin, menambah kejohanan berkenaan juga adalah antara platform untuk menilai atlet-atlet dalam senarai awal skuad Sukma negeri.

“Oleh itu, kita tidak menetapkan sasaran (medal) pada kejohanan itu.

“Namun apa yang penting adalah kita dapat mencari kelemahan-kelemahan yang ada pada atlet-atlet kita dan membuat analisis sekali gus melatih mereka untuk bertambah baik,” kata Julian.

Dalam pada itu, 23 atlet akan membawa cabaran Sabah di kejohanan itu dengan Richard Ajak dilantik sebagai pengurus pasukan dan diiringi jurulatih Danny Fredoline, Farlin Frederick serta Audrey Japyus.

Peserta acara Kata Sabah nanti ialah Josvin Jase, Mohd Zaidan Zainal, Awangku Aqeel Rauf Ag Amli Noraufe, Clevelence Carlos, Juslin Juman, Audrey Tay, Nur Via Viva Lawson, Vellcarollyne Agustine dan Lovelly Anne Roberth.

 Sementara bagi acara Kumite, atlit atlit yang bertanding ialah Stanley Dulian, Richal Mattan, Arthuric Gideon Jiwin, McRoyce Donovan Dagul, Mohd Zuhair Zulkifli Zainal, Darren Ryan Rizal, Nur Hanna Nadirah Riduan, Eadryna Lawrence, Cairola Cheverry Wong Yee Ying, Leong Jia Chii, Amirah Syahirah Azlan, Pressy Misty Philip, Michel Michelin Linus dan Elysheron Maunsiong.

Sebagai rekod, senarai skuad Sukma 2020 masih belum dimuktamadkan di mana disiplin dan komitmen para atlet, selain prestasi, akan diambil kira dalam pembentukan skuad Sukma negeri.

Julian turut berkata para pelatih Sukma akan terus dipantau dan dinilai dalam Kejohanan Kadet, Junior Dan Bawah 21 Tahun Kebangsaan di Melaka pada April depan.