UMNO SABAH BERANTAKAN?

KOTA KINABALU: Di kala semua parti politik kini melakukan persiapan rapi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), UMNO Sabah kini dilihat berantakan apabila sekumpulan pemimpin parti itu menyatakan bantahan terhadap perlantikan Datuk Seri Bung Mokhtar sebagai ketua jentera pilihan raya Barisan Nasional dan UMNO.

Bantahan yang diketuai ahli majlis tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan itu berlaku hanya selepas beberapa jam presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi mengumumkan perlantikan Bung.

Rahman dalam sidang medianya di ibu negara, sebentar tadi, menganggap pelantikan Bung itu sebagai satu penghinaan kepada autonomi Sabah kerana pengerusi UMNO Sabah itu terpalit dengan isu rasuah dan hanya akan menyebabkan kekalahan parti itu.

“Seseorang yang menjadi ketua jentera UMNO negeri Sabah mestilah bebas daripada kes rasuah, meletakkan seorang individu yang berdepan dengan masalah mahkamah dan terpaksa turun naik mahkamah dalam kita berkempen menyeru rakyat Sabah undi umno akan memakan diri.

“Tiada parti di dunia yang akan meletakkan seseorang yang mempunyai kes aktif sebagai ketua, ini bunuh diri,” katanya.

Rahman berkata, keputusan itu melanggar semangat autonomi UMNO Sabah yang telah diluluskan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2019.

“Ini adalah penghinaan kepada Sabahan, kepada pengundi Sabah dan saya ingatkan UMNO Sabah ada banyak pemimpin yang berkaliber, tetapi meletakkan seseorang yang ada masalah peribadi untuk menerajui jentera pilihan raya itu adalah satu penghinaan kepada rakyat Sabah,” katanya.

Difahamkan, sidang media itu turut dihadiri 11 Ketua UMNO Bahagian dari Sabah dan beberapa pemimpin tertinggi parti itu.-http://beritasabah.com