UMS anjur Program Virus Hunter Bimbing Pelajar Tentang Vaksin

Universiti Malaysia Sabah dengan kerjasama Penang Science Cluster telah menjayakan program “Virus Hunter”, satu bengkel berasaskan pengetahuan sains khusus kepada pelajar sekolah secara dalam talian baru-baru ini.

UMS melalui Perpustakaan UMS dan U-Science UMS bersama-sama Penang Science Cluster telah mengendalikan bengkel maya yang berlangsung hampir tiga jam kepada 20 pelajar daripada SM St. Michael, Penampang di bawah pimpinan guru Asas Sains Komputer, Dr. Norin Farizah Mohd Nuin dan 20 pelajar SMK Benoni, Papar yang dipimpin oleh Cikgu Effa Salwa Abdin @ Abidin.

Program tersebut antara lain memberi peluang kepada pelajar-pelajar mendalami proses pembuatan vaksin dan teori-teori sains dan teknologi terlibat dalam proses pembuatan vaksin.

Bengkel tersebut dikendalikan oleh wakil Penang Science Cluster, Ily Iskandar sambil dibantu oleh fasilitator terdiri dalam kalangan pelajar Latihan Industri Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS, Mikailon Christianus dan Aaron Leshanza Charles.

Bengkel tersebut terbahagi kepada dua bentuk cabaran secara maya iaitu cabaran utama adalah berbentuk “Build Your Own Vaccine” yang mengetengahkan kaedah utama yang perlu dikenalpasti untuk proses pembuatan vaksin.Manakala cabaran mini pula dikenali sebagai cabaran “Think Like CRISPR!” yang melibatkan kemahiran kognitif dan penyelesaian matematik pelajar.

Pada akhir program, pelajar-pelajar akan memperoleh “vaksin” fizikal, mata pentaksiran Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), dan sijil penghargaan yang diperakui oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Perpustakaan UMS, U-Science UMS dan Penang Science Cluster dalam pada itu turut mempelawa guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah untuk mengambil peluang mengikuti program tersebut yang berlangsung sepanjang September dan akan berakhir pada 20 Oktober ini.

Bengkel berkenaan terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah di seluruh Sabah dan guru-guru pembimbing boleh membuat tempahan atas talian bagi kelas yang berminat melalui pautan https://bit.ly/3tvqNYm.

Bengkel maya tersebut mempunyai slot pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat petang, dan video penerangan boleh dilayari melalui pautan https://bit.ly/3k44gyW.

Sebarang pertanyaan lanjut berkenaan program ini boleh berhubung terus melalui emel, uscience@ums.edu.my atau dengan pegawai yang bertugas, Pn Lorita Gadol (No. Tel. 019-539 7002) atau Pn Deidre Faye (No. Tel 016-7733889).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *