UMS Giat Bantu Vaksinasi Penduduk Terjejas PKPD

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus menggiatkan inisiatif membantu program vaksinasi bagi penduduk yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Kota Kinabalu.

Terbaharu, melalui Program Vaksinasi Mobile CITF Daerah Kota Kinabalu, seramai 132 penduduk University Apartment 1 (UA1) yang dikenakan PKPD sejak 6 Ogos lalu telah menerima vaksinasi.

Menurut Pegawai Perubatan Hospital UMS, Dr. Rishaini Elengovan, program yang melibatkan kolaborasi pelbagai pihak antaranya pihak Hospital Universiti Malaysia Sabah, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Cawangan Sabah itu merupakan siri kedua diadakan selepas siri pertama di Taman Putera Jaya, Telipok pada 12 Ogos lalu.

“Tanpa mengira penat lelah dan risiko yang bakal dihadapi, seramai 15 petugas yang terdiri daripada Pegawai Perubatan, Jururawat, Penolong Pegawai Perubatan, Juru X-Ray, Juruteknologi Makmal Perubatan, serta kakitangan pentadbiran telah terlibat bagi menjayakan program ini di kawasan PKPD.

“Program ini diadakan bagi memudahkan penduduk yang terlibat mendapatkan vaksinasi tanpa perlu keluar dari kawasan PKPD, dan ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan risiko kepada penduduk di kawasan yang mempunyai kes penularan COVID-19,” katanya.

Tambah Rishaini yang juga merupakan Ketua Penyelaras Bersama Program Outreach tersebut, ini secara tidak langsung akan dapat membantu mempercepatkan sasaran kerajaan negeri Sabah untuk mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk Sabah telah mendapat suntikan vaksin menjelang Oktober ini.

Program outreach tersebut dijangka akan diteruskan di beberapa lokasi di sekitar Kota Kinabalu sehingga 2 September ini antaranya di Taman Bukit Setia, Sepanggar, Tanjung Aru, dan Sembulan.