UMS jayakan latihan pengungsian bangunan sewaktu kecemasan

KOTA KINABALU: Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) Bangunan Canselori, Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Latihan Tindakan Pengungsian Bangunan Sewaktu Kecemasan baru-baru ini di Bangunan Canselori.

Aktiviti yang bermula pada pukul 9.00 pagi dan mengambil masa selama setengah jam itu berakhir sebaik pengisytiharan Bangunan Canselori selamat untuk diduduki semula oleh Insiden Komander, Mohamad Edrus Othman.

Menurut Edrus, latihan kali ini yang menjurus kepada pengungsian bangunan menyasarkan penilaian kadar respon penghuni atau pelawat bangunan sebaik sahaja loceng kecemasan dibunyikan.

“Hasilnya, eksesais ini telah berjaya‘menyelamatkan’ seramai 110 orang di Blok Utara dan 97 orang di Blok Selatan setelah semua penghuni bangunan berjaya berkumpul di tempat berkumpul mengikut had waktu yang ditetapkan.

“Dalam masa yang sama, melalui sesi ini ahli-ahli ERT Bangunan Canselori terutamanya Floor Warden, First Aider dan Fire Rescue Squad telah dapat mempraktikkan pengetahuan dan tanggungjawab masing-masing bermula dari saat loceng kecemasan berbunyi ‘sehingga pasukan penyelamat tiba di tempat kejadian’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Edrus yang juga Timbalan Bendahari Kanan UMS berkata, pasukan pemerhati atau penilai adalah daripada petugas Balai Bomba dan Penyelamat Lintas yang diketuai PBK II (KUP) Renno Walter dan 9 anggota lain-lain pangkat yang turut membawa sebuah jentera penyelamat kebakaran.

Tambah Edrus, ketua pemerhati telah membuat rumusan eksesais dan memberikan beberapa cadangan penambahbaikan semasa sesi taklimat selepas latihan dilaksanakan.

“Ahli- ahli ERT Bangunan Canselori yang terdiri daripada 2 Evacuation Controller, 12 Fire Rescue Squad, 14 Floor Warden, 17 First Aider selain pasukan sokongan daripada Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) dan Bahagian Keselamatan UMS (BKUMS) turut mengambil kesempatan bertanya pelbagai isu dan kemusykilan sewaktu taklimat ini berlangsung.

“Latihan Tindakan Pengungsian Bangunan Sewaktu Kecemasan telah mencapai objektif yang ditetapkan dan lebih daripada itu, melalui eksesais ini satu penilaian terhadap alat-alat pencegahan dan keselamatan seperti loceng kecemasan, pintu-pintu kecemasan, sistem siaraya, alat penggera, tempat-tempat berkumpul dan kemudahan lain sedia ada telah dapat dibuat untuk penambahbaikan pada masa hadapan.

Turut hadir semasa sesi taklimat, Pengarah Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PKKP) UMS, Profesor Dr. Khamisah Awang Luqman yang turut menyampaikan cenderamata kepada pasukan Bomba.