SANDAKAN: Lebih 20 jenis sukan dipertandingkan dalam acara Sukan Warga Universiti Malaysia Sabah (SWUMS) Sandakan, di sini, baru-baru ini.
Program yang julung kalinya diadakan melibatkan semua warga kampus itu sejajar dengan usaha meningkatkan indeks kegembiraan sebagai teras universiti.
Majlis perasmian penutupannya disempurnakan Dekan Fakulti Pertanian Lestari, UMS Sandakan, Prof. Madya Dr. Azwan Awang di Kafeteria Kolej Kediaman Lestari kampus berkenaan.
Berucap pada majlis itu, Dr. Azwan berkata, program itu antara lain bertujuan untuk membudayakan sukan dalam kalangan pelajar dan staf serta mengeratkan lagi silaturahim sesama warga kampus.
“Di samping itu, ia juga bagi menggalakkan penglibatan pelajar dan staf UMS Sandakan untuk aktif bersukan dan mengamalkan budaya hidup sihat, ceria dan cergas,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FPL, Prof. Madya Dr. Mohamadu Boyie Jalloh; Ketua Pentadbiran FPL, Dr. Roslan Gimba; dan Ketua Seksyen Pusat Sukan UMS Sandakan, Andrew Majanggim.
Dalam pada itu, Dr. Roslan memaklumkan penglibatan pelajar dan staf yang mewakili empat rumah sukan sangat menggalakkan.
“Syabas dan tahniah kepada semua yang turut serta mengambil bahagian dalam SWUMS kali ini,” katanya.
Kejohanan yang berlangsung selama lebih dua bulan itu menyaksikan rumah kuning muncul sebagai juara keseluruhan.
More Stories
Pasukan Tommy Hardware juara Pertandingan Open Double Dart Challenge
Izzuddin-Sze Fei cipta kejutan ke final BAC
Belum ada keputusan rasmi pengisian slot pemain import terbaharu – Kim Swee