UMS teroka peluang kerjasama majukan bidang perhutanan

Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedia meneroka peluang kerjasama dengan agensi berkaitan bagi memacu pembangunan dan kemajuan dalam bidang perhutanan di negeri Sabah. 

Naib Canselor UMS Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, UMS mempunyai sumber dan kepakaran dalam bidang tersebut bagi membantu kerajaan negeri yang komited terhadap usaha memastikan 50 peratus kawasan di negeri Sabah dalam keadaan hutan. 

“Hutan sememangnya satu aset besar yang sangat berharga bagi negeri Sabah yang mempunyai banyak hutan simpan yang cukup terpelihara. 

“UMS melihat hutan sebagai satu ilmu yang penting dan perlu diterokai, dan untuk itu pihak pengurusan universiti telah berusaha untuk mewujudkan semula Fakulti Perhutanan Tropika bagi tujuan itu,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Lawatan Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UMS ke Pusat Sejadi Hutan Lipur Kawang, Papar baru-baru ini. 

Menurutnya, kebolehpasaran graduan dalam program perhutanan juga tinggi melebihi 90 peratus. 

“UMS memerlukan kawasan hutan sebagai makmal atau tempat lapangan kepada para pelajar UMS khususnya dalam program perhutanan bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran mereka.

“Justeru, lawatan ini dilihat mampu membuka ruang kolaborasi antara universiti dan Jabatan Perhutanan Negeri Sabah bagi membolehkan UMS memenuhi keperluan tersebut, di samping bersama-sama meneroka potensi hutan simpan yang boleh dikembangkan.

“UMS sendiri mempunyai satu Kursi Perhutanan yang diketuai oleh seorang Profesor bagi melihat struktur dan kajian dalam bidang perhutanan secara menyeluruh,” katanya. 

Beliau turut berharap agar kawasan hutan simpan yang terdapat di negeri Sabah terus dijaga dengan baik dan mampu menjana pendapatan untuk negeri Sabah. 

Terdahulu, Pengarah Pusat Pengurusan Ecocampus UMS Prof. Madya Dr. Berhaman Ahmad memberitahu, lawatan itu bertujuan meninjau kemudahan-kemudahan yang terdapat di hutan simpan tersebut serta mengadakan perbincangan bagi satu ruang kerjasama antara kedua-dua pihak. 

“UMS berhasrat agar hutan simpan di Pusat Sejadi Hutan Lipur Kawang, Papar ini menjadi salah satu tempat pembelajaran bagi pelajar UMS tidak terhad kepada pelajar program perhutanan tetapi juga kepada pelajar program lain seperti program hospitaliti,” katanya. 

Rombongan UMS terdahulu diberi penerangan ringkas berkaitan Pusat Sejadi Hutan Lipur Kawang oleh Penolong Pegawai Perhutanan Daerah Kota Kinabalu Guptah VG Nair, sebelum dibawa Pegawai Perhutanan Daerah Kota Kinabalu Mahali Yusin melawat sekitar kawasan hutan simpan yang berkeluasan 1551 hektar.

Aktiviti penanaman pokok di kawasan itu turut dijalankan oleh rombongan UMS sebagai tanda kenangan.

Antara rombongan UMS yang bersama dalam lawatan tersebut Ahli LPU UMS Datuk Haji Kamarlin Ombi dan Datuk Dr. Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul, Pendaftar UMS Luqman Ridha Anwar, Bendahari UMS Zallifah Shadan, Dekan Fakulti Perhutanan Tropika UMS Prof. Madya Dr. Normah Awang Besar @ Raffie, dan Pengarah Pusat Pelaburan, Endowmen dan Wakaf UMS Dr. Rafiq Idris. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *