UMS-UNNES Anjur Kuliah Tamu Maya

Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama-sama dengan Universiti Negeri Semarang (UNNES), Indonesia telah menganjurkan Kuliah Tamu secara maya buat julung kalinya baru-baru ini.

Mengangkat tema “Pandemik COVID-19 dari Perspektif Linguistik, Sastera, dan Pengajaran Bahasa”, sesi tersebut dihadiri secara dalam talian melalui platform Zoom oleh lebih 150 pelajar dari Fakulti Bahasa Seni (FBS) UNNES dan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS.

Program Kuliah Tamu tersebut melibatkan sesi ceramah yang disampaikan oleh pensyarah Jabatan Bahasa dan Pustaka FBS UNNES, Dr Tommi Yuniawan MHum dan pensyarah kanan FPP, Prof Madya Dr Wardatul Akmam Din yang juga merupakan Timbalan Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global UMS.

Tommi dalam ceramahnya memberitahu pertukaran maklumat adalah salah satu kunci penting dalam menangani pandemik COVID-19.

“Persepsi masyarakat terhadap risiko dan ancaman COVID-19 juga dipengaruhi oleh maklumat yang mereka terima, dan kepelbagaian maklumat yang berkaitan berpotensi menyebabkan infodemik yang kadang-kadang sukar dibezakan antara maklumat sahih atau pun palsu,” katanya.

Menurut beliau, laporan media berkaitan COVID-19 di akhbar Malaysia dan Indonesia adalah sesuatu yang menarik untuk dikaji oleh penyelidik UMS dan UNNES.

“Dalam pelaporan media massa kedua-dua negara, beberapa perkara dapat dilihat antaranya topik atau tajuk berita yang menggambarkan kebimbangan terhadap COVID-19, kesan, konflik, cadangan penyelesaian konflik dan sebagainya.

“Justeru, sudah tentu ini sesuatu yang boleh dikaji dengan penyelidikan boleh menumpukan pendekatan analitik terhadap penerbitan berita di media massa kedua-dua negara,” ujar Tommi.

Dalam pada itu, Wardatul dalam sesi tersebut mengalu-alukan cadangan-cadangan penyelidikan dengan mengemukakan isu-isu terkini berkaitan dengan pandemik COVID-19, termasuk dari segi pembelajaran bahasa.

Program kuliah tamu yang merupakan salah satu jalinan kerjasama akademik antara kedua-dua universiti diadakan dalam tiga sesi sepanjang bulan September ini, dengan sesi kedua akan diadakan pada minggu kedua melibatkan pensyarah UNNES, Wati Istanti dan pensyarah UMS, Prof. Madya Dr Suyansah Swanto.

Sesi terakhir dijadualkan akan berlangsung pada minggu keempat bulan ini dengan menampilkan pembicara Datin Nik Zaitun Nik Mohamed dari UMS dan Santi Pratiwi Tri Utami dari UNNES.