RANAU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menghargai keputusan kerajaan tidak meneruskan cadangan garis panduan kepada umat Islam untuk menghadiri acara dianjurkan penganut agama lain, khususnya di rumah ibadat bukan Islam.
Presidennya, Datuk Ewon Benedick, berkata keputusan kerajaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menonjolkan semangat toleransi pelbagai kaum dan agama serta menghormati kematangan penganut Islam di negara ini.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, mengesahkan bahawa Jemaah Menteri Persekutuan sudah membincangkan isu yang timbul berikutan laporan media mengenai cadangan pengwujudan garis panduan itu.
“Perdana Menteri membuka ruang kepada ahli Kabinet untuk menyuarakan pandangan masing-masing dan saya antara yang telah menyatakan pandangan pada mesyuarat Kabinet kelmarin.
“Susulan itu, Perdana Menteri mengumumkan keputusan Kerajaan MADANI iaitu tiada keperluan untuk meneruskan cadangan pengwujudan garis panduan berkenaan.
“Kerajaan menghormati kematangan umat Islam dalam menimbang apa yang boleh dan tidak boleh dibuat ketika menghadiri acara yang dianjurkan oleh penganut agama lain,” katanya pada sambutan Tahun Baharu Cina UPKO Bahagian Ranau di Kampung Lasing, di sini, hari ini.

Ewon berkata, Kerajaan MADANI mahu memperkasakan toleransi agama dan kebersamaan rakyat majmuk.
Katanya, kerajaan juga mengalu-alukan dialog keharmonian terutama yang dianjurkan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama di bawah Kementerian Perpaduan Negara.
“Ia bagi menggalakkan lebih banyak interaksi antara pemimpin dan penganut pelbagai agama supaya persefahaman dan sensitiviti agama dapat diperkasakan lagi,” katanya.
Beliau berkata, UPKO berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana terus komited memimpin negara berasaskan prinsip toleransi dan kebersamaan rakyat.
“UPKO sudah melaksanakan tanggungjawabnya menjadi sebahagian daripada keputusan kerajaan kelmarin.
“Ini adalah sumbangan UPKO kepada masa depan negara berasaskan kepada semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Sementara itu, Ewon turut menyatakan komitmen Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk terus membangunkan sektor keusahawanan dan koperasi di Sabah melalui fokus tambahan di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara yang sedang dilaksanakan.
“Di bawah inisiatif dasar ini, kita memulakan pelaksanaan projek premis Tamu Desa di Sabah dan Sarawak, geran usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak (BEEP Plus), skim pembiayaan usahawan tamu dan bantuan khas koperasi pelancongan di bawah Program JEJAK Koperasi.
“Selain itu, kita juga melaksanakan pembangunan studio TEKUN TikTok Shop dan peluasan capaian perkhidmatan serta penganjuran pelbagai inisiatif baharu di Sabah dan Sarawak.
“Antara yang mendapat manfaat di bawah inisiatif dasar ini adalah usahawan dan koperasi di daerah Ranau termasuk dua premis Tamu Desa yang sudah disiapkan pada tahun lalu,” katanya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ