UPKO : HENTIKAN POLITIK PERKAUMAN, AGAMA

KOTA KINABALU: Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) berpendapat, kegiatan politik yang keterlaluan perlu diredakan manakala politik perkauman serta agama perlu dihentikan.

Presidennya, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, berkata, UPKO nekad memulakan proses penjenamaan semula dengan menghentikan politik perkauman dengan cara memperkasakan prinsip UPKO untuk menjadi lebih inklusif dan diverse dalam perjuangannya.

“Adakah rakyat mahu supaya robust politicking dibiarkan berterusan? Atau adakah rakyat jelata mahukan politik pembangunan yang lebih terpimpin? Bagi UPKO kegiatan berpolitik yang keterlaluan perlu diredakan dan pada masa yang sama politik perkauman dan agama perlu dihentikan.

“Inilah sebabnya kenapa kita menjenamakan semula UPKO,” katanya dalam ucapan beliau sempena pelancaran penjenamaan semula UPKO yang dibuat secara online menerusi Facebook Page UPKO Malaysia, hari ini.

Madius berkata, penjenamaan semula UPKO bukanlah bermaksud mereka meninggalkan perjuangan parti itu yang selama ini memperjuangkan isu berkaitan orang asal.

“Barangkali ada juga pihak yang
bertanya adakah UPKO akan meninggalkan perjuangan UPKO selama ini seperti memulihara Bahasa Kadazandusun, membela hak-hak tanah Orang Asal, mempertingkatkan penyertaan Orang-Orang Asal dalam perdagangan dan perniagaan, pendidikan dan pengajaran Bible Knowledge dalam sistem persekolahan dan sebagainya.

“Kesemua perjuangan ini adalah sebahagian daripada aspirasi dan kehendak rakyat Sabah, dan oleh sebab itu kita mesti teruskan inisiatif ini dengan lebih lasak lagi.

“Pada masa yang sama, aspirasi dan kehendak rakyat ini akan kita perluas dengan memperjuangkan juga aspirasi pelbagai etnik di Malaysia untuk mendapatkan bahasa ibunda mereka diajar di sekolah-sekolah dan sebagainya.

“Contohnya, sudah ada permintaan daripada bangsa Bajau Sama supaya Bahasa Sama itu diajar di sekolah- sekolah kerajaan. UPKO akan memperjuangkan permintaan ini dengan berkolaborasi dan berkerjasama dengan NGO bangsa Sama yang ada.

“UPKO juga telah membuat resolusi untuk menyokong penuh supaya Unified Examination Certificate (UEC) diberi pengiktrafan oleh kerajaan, sebab Kerajaan Sabah sendiri sudah pun menyatakan pengiktirafannya,” katanya.

Beliau berkata, kesemua yang disebutkan tadi merupakan aspirasi dan kehendak rakyat berbilang kaum yang bukan sahaja bersifat global dan memenuhi kehendak Rukun Negara, tetapi ia juga penting dalam usaha memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

“Begitu juga dalam hal berkenaan keadilan dan integriti. UPKO akan terus berjuang untuk memperbetul pelbagai kepincangan dalam urus-tadbir kerajaan, terutama sekali yang berkaitan dengan keselamatan dan kedaulatan.

“Dalam hal ini, persoalan Perlaksanaan Perjanjian Malaysia tahun 1963 akan kita bangkitkan dengan lebih agresif. Perjuangan menuntut hak-hak negeri Sabah yang termaktub dalam MA63 perlu diperhebatkan sehinga kita berjaya menuntut semula kesemua hak negeri di bawah bayu ini,” katanya lagi.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *