UPKO CATAT SEJARAH

KOTA KINABALU: Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), hari ini, mencatat satu lagi hari bersejarah dalam perjuangan parti berkenaan apabila melakukan penjenamaan semula daripada parti politik berasaskan kaum kepada politik aspirasi rakyat berbilang kaum.

Menariknya juga, pelancaran penjenamaan semula parti itu juga dibuat secara atas talian atau online menerusi Facebook Page UPKO Malaysia yang disempurnakan presidennya, Datuk Wilfred Madius Tangau.

“Hari ini merupakan satu lagi hari bersejarah dalam perjuangan UPKO. UPKO membuka lembaran baru dalam perjuangan politik yang menjurus kepada politik pembangunan iaitu suatu gagasan perjuangan politik yang bercirikan global dan inklusif yang juga satu penghijrahan daripada politik perkauman kepada politik aspirasi rakyat berbilang kaum.

“Lembaran baru ini, adalah kesinambungan perjuangan UPKO yang pragmatis, dinamik dan dipacu oleh denyutan nadi rakyat yang dahagakan perubahan dan kemajuan.

“UPKO dan barisan kepimpinan silamnya telah mengharungi pahit maung cabaran perjuangan dan telah berjaya meneruskan perjuangan dengan kebijaksanaan, kelasakan dan semestinya pengorbanan,” kata Madius dalam ucapannya sempena pelancaran itu.

Beliau berkata, pelancaran lembaran baharu jenama UPKO itu juga menjadi satu tanggungjawab besar baginya tambahan lagi ianya dibuat secara online.

“Terletak dibahu saya pada petang ini satu tanggungjawab berat iaitu untuk melancarkan lembaran jenama UPKO yang baru ini.

“Tambahan pula, pelancaran ini kita lakukan secara talian terus ataupun ‘online’ sejajar dengan kehidupan norma baru iaitu dengan mengamalan penjarakkan sosial secara fizikal sebagai usaha untuk memerangi wabak Coronavirus yang melanda dunia pada masa ini.

“Pelancaran secara ‘online’ ini melambangkan satu penghijrahan dari fizikal kepada maya yang dimungkinkan oleh teknologi digital dan inovasi. Sekaligus, memberi isyarat secara langsung bahawa rakyat jelata juga perlu berhijrah ke era teknologi digital dalam menjalankan hidup seharian kita.

Pada masa yang sama, pelancaran jenama baru UPKO ini juga dibuat pada ketika bermulanya kemelesetan ekonomi dunia yang dikatakan kemelesetan paling teruk yang belum pernah dialami sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, penjenamaan semula UPKO adalah satu langkah besar dibuat parti itu khususnya dengan pelbagai persoalan berbangkit oleh pelbagai pihak.

“Penjenamaan ini adalah suatu perubahan besar bagi UPKO. Sudah tentu pelbagai persoalaan terbangkit. Kenapakah UPKO dijenamakan semula? Apakah sebabnya? Apakah matlamatnya? Apakah halatuju UPKO yang baru, dan sebagainya.

“Sebenarnya, langkah memperbaharui prinsip asas UPKO bermula dengan satu resolusi dalam Persidangan Tri-tahunan UPKO pada Oktober 2018. Suatu Pasukan Petugas Khas yang diketuai oleh Yang Berhormat Senator Datuk Donald Peter Mojuntin, Timbalan Presiden UPKO, telah ditubuhkan dan dibantu oleh Nelson Anggang, Setiausaha Agung, dan juga pengkaji-pengkaji UPKO untuk menjalankan kajian terperinci mengenai apakah pandangan ahli dan juga rakyat tentang halatuju perjuangan UPKO yang seterusnya.

“Hasil kajian telah membuktikan bahawa rata-rata, ahli UPKO dan juga rakyat jelata memberi pandangan positif. Mereka bercadang bahawa sebaik-baiknya, perjuangan UPKO selepas ini wajib menjurus kepada prinsip asas yang lebih inklusif dalam perjuangannya.

“Akhirnya, setelah mendapat persetujuan, kami telah mengangkat cadangan perubahan tersebut kepada Persidangan Luar Biasa untuk meminda perlembagaan parti untuk pertimbangan perwakilan. Syukur-lah para perwakilan memberi sokongan padu, dan selepas itu, kami mengangkat inisiatif ini untuk kelulusan pendaftar pertubuhan,” katanya lagi.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *