UPKO : PERJUANGAN ATASI ISU PATI DITERUSKAN

KOTA KINABALU: Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) akan terus memperjuangkan isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah sehinggalah ianya mendapat penyelesaian secara tuntas.

Presidennya, Datuk Wilfred Madius Tangau, berkata untuk menuju ke arah itu, urus tadbir yang baik atau ‘good governance’ hendaklah ditegakkan semula, terutama dalam urus tadbir kewarganegaraan.

“UPKO selama ini sangat prihatin dengan hakikat bahawa pertumbuhan penduduk Sabah yang sangat luar biasa dan PATI perlu ditangani dengan penuh integriti, budaya sivik dan kesungguhan demi kepentingan semua yang terlibat.

“Keprihatinan rakyat terhadap ‘demographic reengineering’ di Sabah terserlah dengan fakta yang terdapat dalam banci penduduk bermula tahun 1970 sehingga tahun 2010.

“Sebagai contoh, jika kita lihat banci penduduk pada tahun 1970, ia menunjukkan bahawa penduduk Sabah hanyalah 636,431 berbanding dengan jumlah 976,269 bagi penduduk Sarawak.

“Namun dalam masa 4 dekad, tiba-tiba pada tahun 2010, penduduk Sabah mengatasi jumlah penduduk Sarawak sebanyak 700,000, iaitu dengan total keseluruhan sebanyak 3.12 juta bagi Sabah dan 2.42 juta bagi Sarawak, sedangkan pada tahun 1970, penduduk Sarawak mengatasi jumlah penduduk dari Sabah sebanyak 339,838,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena pelancaran penjenamaan semula UPKO yang diadakan secara online menerusi Facebook Page UPKO Malaysia, hari ini.

Madius berkata, jawapan kenapa adanya pertumbuhan penduduk Sabah yang luar biasa ini terdapat dalam laporan Suruhanjaya Siasatan di-Raja mengenai PATI di Sabah.

“Pelbagai salah laku, salah guna kuasa dan perbuatan rasuah telah dinyatakan oleh pelbagai saksi dalam pendengaran awam RCI tersebut.

“Kajian UPKO tentang perkara ini juga membuktikan bahawa terdapat lebih 80 peratus PATI telah mendapat Kad Pengenalan secara rasuah.

“Pengakuan responden tersebut boleh didapati di laman web UPKO untuk makluman umum,” katanya.

Sementara itu, Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata perjuangan membanteras rasuah dalam agensi yang terlibat dalam urus tadbir kewarganegaraan juga akan diteruskan oleh parti itu.

“Kami sedar bahawa banyak isu rasuah dan korupsi dalam agensi-agensi telah mengakibatkan pelbagai masalah untuk rakyat, oleh itu, kami tidak boleh lagi mengabaikan penularan masalah ini,” katanya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *