UPKO LIBARAN TERUS SOKONG PUCUK PIMPINAN

SANDAKAN: Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Libaran memberi jaminan terus menyokong kepimpinan presiden parti, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Ketua Bahagiannya, Dr Peter Naintin, berkata parti itu kini mempunyai 46 cawangan membabitkan seramai 3,320 ahli dan jumlah itu adalah hasil dorongan dan sokongan pucuk pimpinan parti.

Katanya, mereka juga berharap pemimpin parti itu akan terus memperjuangkan hak sama rata yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain memberi tumpuan terhadap aspek kesihatan dan pembangunan rakyat.

“Dalam keadaan politik negara yang mana berlaku percaturan politik dan kita di peringkat bahagian dan cawangan terasa bahangnya.

“Namun, kita tidak teragak-agak untuk bersama dengan pucuk pimpinan parti kerana kita sedar parti ini mengutamakan pembangunan rakyat,” katanya berucap pada Program Gelombang Pantai Timur UPKO Libaran di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Muhibbah, di sini.

Peter berkata, pelbagai inisiatif diambil di peringkat bahagian hasil dorongan pemimpin termasuk mengadakan kursus yang memberi manfaat kepada ahli.

Dalam waktu terdekat, katanya, UPKO Bahagian Libaran akan menganjurkan kursus pembuatan lada hitam yang mensasarkan penyertaan 200 orang serta pemprosesan makanan membabitkan seramai 100 peserta.

Terdahulu pada majlis itu, Madius turut merasmikan pejabat UPKO Libaran serta menerima borang keahlian baharu seramai 1,897 ahli membabitkan 24 cawangan di Libaran.

Selain itu, UPKO Libaran turut sempat merayakan secara sederhana ulang tahun Madius ke-62 yang jatuh pada tarikh kelmarin.