KOTA KINABALU: Pergerakan Generasi Muda (GEM) menegaskan pendirian teguh untuk terus menyokong pucuk kepimpinan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) di bawah Presiden, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
Perkara itu dinyatakan Ketua GEM UPKO yang baharu, Alex Walzico Robert ketika berucap dalam satu majlis makan malam tertutup yang turut dihadiri Datuk Seri Madius di sini, pada Ahad.
Menurut Alex, pendirian itu turut meliputi semua keputusan yang telah diambil oleh ahli Majlis Tertinggi (MT) UPKO dalam menentukan hala tuju perjuangan parti.
“Justeru, dalam hal ini saya mewakili seluruh ahli exco GEM UPKO juga menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan ahli MT UPKO yang telah memilih untuk berjuang mempertahankan mandat rakyat ketika negara dilanda kemelut politik baru-baru ini.
“Bagi kami, ini adalah keputusan terhormat dan memperlihatkan keikhlasan parti dalam perjuangan seiring dengan suara rakyat pada Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU14) yang jelas mahukan perubahan dalam tampuk kepimpinan negara,” katanya.
Turut hadir Timbalan Presiden UPKO, Datuk Donald Peter Mojuntin dan seluruh ahli exco GEM yang baharu.
Sementara itu, Madius dalam ucapannya berkata, peranan generasi muda pada masa kini amat penting dalam menentukan hala tuju negara dan negeri Sabah.
Menurutnya, di dalam UPKO ungkapan para belia sebagai pewaris kepimpinan negara pada masa akan datang sudah tidak relevan.
“Kita tidak perlu menunggu hingga masa akan datang, tetapi seiring dengan perkembangan politik dan kepesatan teknologi semasa, generasi muda sudah boleh menjadi pemimpin pada masa sekarang ini juga.
“Sehubungan itu, saya sentiasa mengalu-alukan sebarang cadangan atau input daripada para belia untuk memberi nilai tambah kepada UPKO,” katanya.
Untuk rekod, Pergerakan Generasi Muda ini merupakan penjenamaan semula terhadap salah satu sayap parti yang dahulunya dikenali sebagai Pergerakan Komulakan yang dianggotai oleh ahli-ahli UPKO berumur 30 tahun ke bawah./BERITA SABAH

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius