Kota Kinabalu: Exco Pemuda UPKO Malaysia menyambut baik saranan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador baharu-baharu ini, yang bertekad menghapuskan sepenuhnya sebarang bentuk perjudian dan maksiat di negara ini.
Naib Ketua Pemuda UPKO Pusat, Petrus Conrad Mojuntin (gambar) berkata, sukar dinafikan, kegiatan jenayah ini telah menyebabkan pelbagai permasalahan kepada masyarakat secara umumnya sejak sekian lama.
Katanya, selaku pimpinan pemuda UPKO Malaysia, beliau turut mengharapkan kerjasama masyarakat supaya melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau perjudian haram yang wujud di kawasan mereka kepada pihak berkuasa untuk tindakan segera.
“Saya amat menyokong saranan Ketua Polis Negara dan seluruh pegawai serta anggota polis di negara ini untuk menghapuskan kegiatan tidak bermoral ini.
“Bagaimanapun, masyarakat sendiri juga perlu membantu polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan perjudian supaya dalang kegiatan itu dapat ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Petrus berkata, masalah perjudian sudah menjadi duri dalam daging kepada masyarakat sejak sekian lama.
Katanya, kesan aktiviti perjudian tidak terhenti begitu saja, malah ia menjadi punca kepada masalah lain seperti isu pinjaman ceti haram, kerosakan institusi keluarga dan jenayah ragut, curi serta rompakan.
“Selaku pimpinan pemuda, kami berharap, saranan ini dapat ditunaikan oleh pihak berkuasa dan bersedia memberikan sebarang kerjasama yang diperlukan.
“Namun, usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak dan ia perlu bermula daripada masyarakat itu sendiri untuk melumpuhkannya dengan tidak bersekongkol ataupun tidak terjebak dengan kegiatan perjudian.
“Sekiranya tiada sesiapa yang terlibat maka premis-premis perjudian ini akan mengalami kerugian dan seterusnya menutup kegiatan mereka,”katanya.
Petrus berkata, Pemuda UPKO percaya polis amat komited dengan saranan yang dibuat dan berharap usaha ini menemui kejayaan kelak. (Teks: JY)

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ