UPKO pungut derma bantu peniaga gerai, dua individu bayar kompaun RM120K

Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) melancarkan pungutan derma bagi membantu dua peniaga gerai makanan dan dua individu yang dikompaun bernilai RM120,000 di Jalan Sulaman Tuaran, pada Isnin.

Timbalan Bendahari Agung UPKO, George Teo berkata, derma itu bagi membantu Rayner Longtin, 32, dan seorang lagi peniaga di gerai bersebelahan yang masing-masing dikenakan kompaun RM50,000.

“Kedua-dua peniaga kini tertekan dengan jumlah kompaun yang tinggi sedangkan pendapatan mereka umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Dua lagi yang dikompaun ialah rakan kepada Rayner yang masing-masing dikenakan RM10,000 setiap satu. Saya fikir ini tidak masuk akal kerana salah seorang rakan beliau ini masih menuntut di sekolah menengah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

George

Menurut George, beliau memahami pihak berkuasa hanya menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

“Namun, kita juga perlu melihat perkara ini dalam konteks yang menyeluruh. Sebelum kompaun dikeluarkan, sepatutnya kertas siasatan dibuka seperti beberapa kes yang dilaporkan melibatkan artis dan menteri.

“Biarlah tindakan penguatkuasaan dibuat secara saksama untuk semua pihak tanpa ada istilah double-standard,” ujarnya.

Isnin lalu, Rayner dikenakan kompaun ketika operasi gerainya hendak ditutup, kira-kira pukul 10.00 malam.

Dalam kejadian itu, beberapa anggota polis datang dan meminta beliau mengeluarkan kad pengimbas MySejahtera, alat pemeriksaan suhu serta buku catatan kehadiran pelanggan yang telah pun disimpan.

Selepas membuat semakan, Rayner, peniaga bersebelahan dan dua rakan yang ingin menumpangkannya pulang ke rumah telah dikenakan kompaun.

Pelanggan yang masih berada di dalam gerai dan sedang menghabiskan makanan tidak dikenakan sebarang tindakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *