Bah, kasi siasat dakwaan berani KPN, kata kumpulan NGO

Pendedahan berani Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador yang bakal bersara mengenai campur tangan menteri dalam negeri dalam pengurusan polis adalah serius dan perlu disiasat, kata dua kumpulan NGO.

Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia Malaysia (Hakam) dan Kumpulan Tindakan Masyarakat Mengenai Penghilangan Paksaan” (CAGED) mahu jaminan bahawa struktur pentadbiran pasukan polis tidak terjejas berikutan dakwaan campur tangan Hamzah Zainudin.

Timbalan Presiden Hakam, M Ramachelvam berkata dakwaan itu serius dan menjejaskan selain bersetuju suruhanjaya siasatan bebas perlu sehingga ke akar umbi.

Katanya, di bawah Akta Polis, KPN memerintah Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan perlu bertanggungjawab ke atas menteri dalam negeri.

“Menyentuh berkait urusan harian dan operasi, KPN berhak mentadbir dan mengawal PDRM.”

Mengulas lanjut, katanya Perkara 140 (1) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk membuat keputusan mengenai “pelantikan, pengesahan perkhidmatan, penempatan jawatan tetap atau berpencen, kenaikan pangkat dan pelaksanaan kawalan disiplin ke atas anggota pasukan”.

“Kuasa menteri sebagai ketua SPP dibatasi oleh kuasa yang diberikan kepada suruhanjaya di bawah Perlembagaan Persekutuan,” tambahnya.

Oleh itu, kuasa yang diberikan kepada SPP hanya dapat dilaksanakan oleh suruhanjaya itu sendiri dan bukan oleh menteri secara peribadi.

Pada sidang media semalam, Hamid mengecam Hamzah berikutan dakwaan campur tangannya dalam urusan polis, menyifatkannya sebagai ” tidak baik untuk negara”.

Beliau berkata telah mengemukakan perkara itu kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan ketua setiausaha kerajaan tetapi Hamzah masih mahukan lebih banyak kuasa untuk campur tangan.

“Inilah yang perlu dielakkan. Seorang menteri tidak boleh mengganggu urusan harian PDRM.”

Ia susulan pengakuan Hamzah mengenai pemilik suara dalam rakaman audio yang bocor yang membincangkan rombakan pasukan polis.

Sementara itu, jurucakap CAGED Rama Ramanathan berkata Hamid sepatutnya mendedahkan perkara ini lebih awal.

“Sekarang, kita berdepan situasi di mana pada hari terakhir, dia memberitahu kita perkara seperti suruhanjaya polis hanya bertemu empat kali setahun dan hanya minum kopi.

“Jadi saya rasa dia juga harus dipersalahkan.”

Rama berkata pelbagai reaksi bercampur-baur timbul susulan pendedahan KPN itu.

“Kami rasa bagus juga kerana akhirnya dia mengatakan apa yang telah kami (masyarakat sivil) katakan selama ini, iaitu kami tidak mempercayai polis, kami tidak dapat mempercayai Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) , atau SPP.

“Hamid bersetuju dengan semua yang kami katakan selama ini. Ini adalah kenyataan serius yang dikeluarkan oleh ketua pasukan polis. ”

Tambah Rama, tumpuan sekarang perlu diberikan kepada pendirian KPN Acryl Sani Abdullah Sani mengenai gesaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang telah lama dicadangkan.

“Apa yang dibualkan beliau dan Hamid? Adakah Acryl Sani menyokong IPCMC atau tidak?

“Sekarang, dengan semua pendedahan yang dibuat, kita mempunyai lebih banyak alasan untuk duduk dan mewujudkan IPCMC yang sebenar, bukan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang telah dicadangkan oleh kerajaan Perikatan Nasional.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *