USAHA ATASI MASALAH DADAH PERLU DILAKSANAKAN SECARA BERSEPADU

Datuk Frankie Poon Ming Fung (tengah) selaku tetamu kehormat di majlis itu

Oleh: Nio James

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafe Haji Apdal berkata, usaha mengatasi permasalahan dadah tidak boleh dilakukan secara silo dan perlu dilaksanakan secara bersepadu.

Justeru, katanya perlu bagi agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang lain serta badan-badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) meningkatkan kerjasama Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK).

“Kerjasama seumpama ini boleh dijadikan contoh dalam konteks agen penggerak kepada usaha-usaha Kerajaan dalam menangani gejala penyalahgunaan dadah.

Sesungguhnya semangat kerjasama ini lah yang kita harapkan agar fungsi sebagai mata dan telinga kepada Kerajaan mampu menangani masalah dadah,” katanya pada majlis `Gala Dinner’ anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan (SUKEB) AADK dengan kerjasama Persatuan Wanita Kreatif Sabah (PERTAFA), di Hotel Marriot, di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung.

Shafie mengajak semua pihak untuk bersama-sama memerangi dadah di negara dan negeri ini, kerana  tiada siapa dapat meramal apa yang akan berlaku esok, lusa mahupun tahun-tahun mendatang.  

Bagaimanapun katanya, sejarah boleh memberi panduan serta pengajaran kepada kita bahawa jika hari ini kita lalai dalam menangani masalah dadah ini, negara ini akan hancur dan kemakmuran negara tidak dapat dirasa.

“Untuk mengatasi masalah ketagihan dadah, semua pihak perlu memainkan peranan. Anak-anak perlu diberi didikan dan diberi  perhatian setiap masa dalam segala aspek,” katanya.

Beliau berkata, pergerakan serta pergaulan mereka perlu dipantau. Pada masa yang sama, ibubapa juga perlu sentiasa mendampingi anak-anak dan memberikan kasih sayang serta memahami keperluan mereka,” katanya.

Bagaimanapun kata Shafie, masalah penyalahgunaan dadah bukan sahaja hanya tertumpu kepada para remaja dan belia, tetapi juga semua lapisan masyarakat.

“Oleh itu, usaha-usaha menangani masalah ini perlu digerakkan secara bersama dan dipupuk seawal remaja lagi,” katanya.