Usaha halang PRU mengejut takkan berjaya, kata sumber

Usaha terakhir untuk menghalang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini tidak mungkin berjaya, kata sumber Umno peringkat tinggi.

Usaha ini, antara lain, termasuk surat daripada menteri Perikatan Nasional (PN) kepada Yang di-Pertuan Agong, seperti disahkan Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin.

Ini di samping semakin banyak gesaan daripada pemimpin Pakatan Harapan dan PN, serta pertubuhan masyarakat sivil yang meminta PRU15 diadakan kemudian, atas alasan musim tengkujuh, keadaan ekonomi, kesan pandemik dan perayaan pada akhir tahun.

“Ada menteri yang mahu mengadakan pertemuan dengan pihak istana dalam usaha menghalang pilihan raya diadakan tahun ini.

“Sudah tentu, orang ramai juga cuba memberi tekanan kepada Ismail untuk menghalangnya daripada mencadangkan pembubaran Parlimen,” kata sumber merujuk pelbagai kenyataan di media.

Tetapi, sumber itu berkata, Ismail Sabri Yaakob yang menghadap Yang di-Pertuan Agong petang ini untuk taklimat mesyuarat pra-Kabinet, tidak akan berganjak.

“Ahli Umno menaruh harapan sangat tinggi bahawa Ismail akan mencadangkan pembubaran Parlimen supaya kita boleh mengadakan PRU15 tahun ini.

“Saya tidak percaya Ismail mahu mengecewakan mereka.”

Sumber itu berkata, ini khasnya selepas perhimpunan Umno pada Selasa lalu yang dihadiri pemimpin tertinggi Umno dan semua 191 bahagian.

Susulan perhimpunan itu, sumber parti memberitahu FMT, lima pemimpin tertingginya, termasuk Ismail, bersetuju mengenai tarikh PRU15.

Umno sebelum ini mengesahkan ia mahu PRU15 diadakan tahun ini.