Parlimen bubar, PRU15 dalam tempoh 60 hari

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini bagi membuka laluan kepada PRU15.

Pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen.

“Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah telah bertindak menurut budi bicara baginda dengan memperkenankan permintaan saya supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan hari ini, 10 Okt 2022,” katanya dalam perutusan khas.

Ismail berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya akan menetapkan tarikh untuk penamaan calon, hari mengundi serta urusan lain.

“Pembubaran ini dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

“Semoga rakyat menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi.”

Pengumuman itu dibuat hanya beberapa hari selepas Belanjawan 2023 dibentang, di sebalik spekulasi PRU akan diadakan sebelum tahun berakhir.

Langkah ini seiring dengan seruan dalam Umno yang mahu PRU diadakan segera, di sebalik bantahan daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional.

Umno berhujah mandat baharu daripada rakyat diperlukan bagi membentuk kerajaan yang stabil, selepas tumbangnya kerajaan PH dua tahun lalu.

Seterunya bagaimanapun berkata PRU tidak perlu disegerakan kerana ancaman banjir, situasi ekonomi, dan wabak.